Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Mengapa sosialisme harus diberi peluang?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sosialisme di Malaysia mempunyai pasang surutnya. Kadangkala orang memojokkan sosialisme sebagai komunisme sedangkan keduanya berbeza. Yang pertama ialah induk. Sementara yang kedua ialah variasi. 

Ia seperti Islam dan Syiah dan Sunnah/Sunni dan Muktazilah. Islam adalah induk. Sementara Syiah, Sunnah, Muktazilah adalah keluaran atau variasi daripada Islam. Seperti juga terma “agama” yang di Malaysia selalu dieksklusifkan dengan Islam. Sedangkan Kristian, Hindu, Buddha, Yahudi juga agama. 

Komunisme itu ialah variasi atau aliran daripada Sosialisme. Komunisme selalu dilekatkan 'Ateisme' padanya. Tetapi dalam sosialisme ada jua varian bertuhan yang lain seperti sosialisme Islam dan juga liberation theology, yang Kristian dan militan.

Ada juga sosial demokrat dan utopian. Nasionalis kiri juga dianggap sebagai suatu bahagian dalam sosialisme. Anarkisme juga dianggap sebagai 'sosialisme' tetapi tanpa pemerintahan. Kedua yang terakhir ini, baik nasionalis kiri dan anarkisme, selalu diperdebatkan dan dipertentangkan dalam sosialisme. Tetapi yang pastinya kedua-duanya adalah dalam spektrum kiri. 

Menyentuh tentang nasionalis kiri, Malaysia - yang sebelumnya bernama Malaya - sangat berkecenderungan ke arah itu, seperti perjuangan pejuang kemerdekaan awal, berbanding komunisme. 

Tokoh-tokohnya seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh dan Pak Sako. 

Dan mereka juga cenderung pada Indonesia, mahu bersama gagasan Soekarno iaitu Indonesia Raya dan Melayu Raya. Soekarno, anak murid HOS Tjokroaminoto terlibat dalam PNI (Partai Nasionalis Indonesia). Soekarno mengemukakan idea Nasakom, iaitu NASionalisme, Agama dan KOMunisme. 

Meskipun PNI bukanlah PKI (Partai Komunis Indonesia), tetapi keduanya berhubungan baik. PNI disokong oleh PKI. Dan pengaruh Soekarno sangat dibimbangi barat ketika itu, sehingga mereka akhirnya berusaha menggulingkan Soekarno dengan menaikkan Soeharto.

Dua parti, satu aliran

Di Malaya ketika itu, Sosialisme menjadi muatan ideologi kepada dua parti beraliran kiri ketika itu iaitu, Partai Rakyat Malaya - yang lebih ramai Melayu - dan Parti Buruh Malaya - yang lebih ramai Cina. 

Kedua-dua parti ini akhirnya menubuhkan pakatan tersendiri bernama Socialist Front. Disebabkan dasar-dasr mereka yang prorakyat bawahan, Socialist Front menang besar dalam pilihan raya kerajaan tempatan.

Bimbang dengan pengaruh gerakan kiri baik yang haram - seperti PKM - juga yang sah - seperti Socialist Front - kerajaan pada masa itu membatalkan pilihan raya kerajaan tempatan - sehingga sekarang - dan menangkap pimpinan-pimpinan Socialist Front, baik daripada Partai Rakyat Malaya juga Parti Buruh Malaya. 

Ahmad Boestamam antara yang ditangkap. Selain penangkapan ini, antara yang turut melemahkan perpaduan dalam Socialist Front ialah soal bahasa. Akibat penahanan pemimpin dan perpecahan dalam soal bahasa, Socialist Front berkubur.

Tetapi kiri seperti tidak dapat mati. Kiri seperti rumput. “Kami rumput”, bak kata Widji Thukul, “yang tetap tumbuh meski dicabut”. 

Selepas perpecahan Socialist Front, Partai Rakyat Malaya juga mengalami perpecahan apabila kepimpinan diambil-alih oleh Kassim Ahmad, graduan luar negara (Soas) dan teman-temannya seperti Syed Husin Ali. 

Partai Rakyat Malaya ditukar nama kepada Parti Sosialis Rakyat Malaya. Sementara yang berbalah dengan kepimpinan baru tersebut, bersama Ahmad Boestamam, mendirikan parti baru bernama Parti Marhaen. 

Ahmad Boestamam

Nama Parti Marhaen itu sendiri menunjukkan pengaruh pada terma yang dicipta oleh Soekarno. 

Marhaen merupakan suatu konsep asli tentang rakyat miskin, yang jika dalam terma Marxist disebut sebagai proletariat. Marhaen adalah proletariat versi Nusantara. Soekarno mengolah dalam bentuknya sendiri yang lebih cocok dengan budaya tempatan. 

Parti Buruh hilang taring, Gerakan masuk BN

Sementara Parti Sosialis Rakyat Malaya yang dipimpin Kassim Ahmad, meskipun juga kiri, menetapkan ideologi parti mereka sebagai sosialisme saintifik. Kassim Ahmad mahu memisahkan dan membezakan diri mereka yang sebelum ini terlalu dekat dengan Indonesia. 

Sementara anggota Parti Buruh Malaya yang tadinya sudah hilang, ada yang terlibat dalam Parti Gerakan. Dan seterusnya apabila Gerakan masuk BN, mereka keluar dan menubuhkan parti baru bernama Pekemas (Parti Keadilan Masyarakat). 

Meskipun kiri dan sosialisme tidak memerintah pusat ketika itu, polisi kerajaan era Tun Razak banyak dipengaruhi idea-idea kiri dan sosialisme. Antaranya seperti Felda dan DEB. DEB dikatakan mirip idea Soviet - berusaha membasmi kemiskinan dalam kalangan semua kaum, meskipun pada hari ini, Felda dan DEB disalah guna. 

Tun Razak juga dilihat baik dengan China. Dikatakan Tun Razak ketika belajar terpengaruh dengan Fabian Society, sebuah aliran kiri. Polisi-polisi yang banyak prorakyat pada masa itu, dikatakan hasil tekanan dan desakan kaum kiri dan sosialisme.

Kassim Ahmad selepas ditangkap sudah tidak berminat dengan parti dan sosialisme. Soviet yang akhirnya jatuh membuatkan kiri dan sosialisme semacam pudar. Parti Marhaen dan Pekemas sudah lama tidak wujud. Parti Sosialis Rakyat Malaya kemudian menukar nama kepada asal iaitu Parti Rakyat Malaysia. Revolusi Iran sebelum itu membuatkan kebanyakan penggiat dan peminat ideologi kiri masuk PAS, antaranya Zin Mahmud dan Ishak Surin.

Tetapi seperti disebutkan di atas, kiri dan sosialisme tidak dapat mati. Kiri seperti reinkarnasi perjuangan pembebasan. Ideologi kiri seperti tak akan berhenti selagi meratanya kemiskinan dan penindasan. Kata komrad Che Guevara, "Siapa yang bergetar melihat penindasan, kau saudaraku.”

Dr  Nasir Hashim yang pernah menjadi ahli Parti Sosialis Rakyat Malaysia kecewa bila nama parti itu ditukar kepada Parti Rakyat Malaysia, menggugurkan nama 'sosialis'. Bersama teman-temannya, mereka menubuhkan Parti Sosialis Malaysia pada tahun 1998. 

Sepuluh tahun kemudian, pada 2008, Parti Sosialis Malaysia berjaya didaftarkan. Parti ini yang lebih ramai orang India - berbeza dengan Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh Malaya sebelum ini - akhirnya meletakkan calon mereka menjadi wakil rakyat di DUN Kota Damansara iaitu Dr Nasir.

Kalah teruk pada 2018

Dr Michael Jeyakumar Devaraj menjadi wakil rakyat selepas mengalahkan Samy Vellu di Sungai Siput. Mereka bertanding ketika itu menggunakan logo PKR kerana logo PSM belum dibenarkan. Hanya 10 tahun kemudian, iaitu 2018, Parti Sosialis Malaysia bertanding menggunakan logo sendiri. 

Parti Sosialis Malaysia kalah sangat teruk dalam pilihan raya umum 2018. Tetapi kekalahan mana-mana gerakan kiri dan sosialisme dalam pilihan raya, jarang sekali mematahkan semangat mereka. 

Usaha untuk masuk ke parlimen, hanyalah satu usaha daripada beribu usaha yang lain. Pilihan raya umum 2018, lebih kepada pertembungan Pakatan Harapan dan BN. Bukan sahaja Parti Sosialis Malaysia yang kalah walaupun bertanding sangat sedikit kerusi, tetapi Parti Rakyat Malaysia yang bertanding begitu banyak kerusi juga kalah. Kerana pertembungan 2018 itu ialah antara blok Mahathir Mohamad-Anwar Ibrahim melaawan Najib Razak yang memegang tampuk kepimpinan. 

Janji-janji populis yang tidak sanggup ditunaikan kerajaan PH akhirnya memakan diri. Parti Sosialis Malaysia bersama gerakan rakyat bawahan seterusnya terlibat dalam protes Bantah1050 iaitu membantah kenaikan gaji minimum yang sangat sedikit, tidak seperti dijanjikan PH sebelum ini. 

Protes ini akhirnya membuat regim PH terpaksa menaikkan RM50, menjadikan gaji minimum sebanyak RM1,100. Jadi meskipun kalah pilihan raya, gerakan kiri dan sosialisme masih tidak mengalah. Gerakan kiri dan sosialisme masih melibatkan diri, antaranya di jalan raya. 

Parti Sosialis Malaysia walaupun kalah besar dalam pilihan raya umum 2018, masih cuba menghantar calon dalam pilihan raya kecil 2019 di Semenyih. 

Nik Aziz Afiq

Walaupun kalah, dengan menghantar calon Melayu iaitu Nik Aziz Afiq, parti itu nampaknya belum berputus asa. 

Dalam pilihan raya Johor 2022, yang menteri besarnya sudah bertukar banyak kali dalam penggal ini, Parti Sosialis Malaysia turut mengejutkan ramai dengan menghantar calon untuk bertanding di Kota Iskandar, R Arangkannal atau Ara, aktivis rakyat dan pembikin filem.

Parti yang mempunyai jentera sangat kecil dan modal minimum berbanding parti-parti borjuis lain, masih belum berputus asa. Parti ini cuba menunjukkan bahawa rakyat biasa, dari parti yang kecil dan berprinsip juga berhak untuk bertanding dan menang.

Demokrasi bukan milik mutlak kaum borjuis 

Pilihan raya dan demokrasi bukanlah milik mutlak kaum borjuis dan mereka yang berwang. Pilihan raya dan demokrasi yang sihat juga perlu membenarkan calon dan wakil rakyat daripada kalangan rakyat bawahan untuk masuk ke dalam dewan. 

Rakyat bawahan lebih memahami derita dan perihnya berbanding golongan atasan. 

Kita harus cuba memberikan peluang kepada wakil rakyat daripada parti marhaen dan rakyat bawahan ini. Dr Nasir Hashim dan Dr Jayakumar sepanjang menjadi wakil rakyat tidak mengaut kekayaan dengan melompat parti. Mereka tetap berprinsip sehingga tamat penggal.

Supaya generasi muda masa hadapan tidak berputus harap dengan pilihan raya dan demokrasi, suara dari Parti Sosialis Malaysia, yang mewakili rakyat bawahan, harus diberikan peluang.


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecilan, penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.