Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuntutan balas: Gurauan rogol jejas kesihatan emosi, fizikal Ain Husniza

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ain Husniza Saiful Nizam dan bapanya menegaskan bahawa saman fitnah guru pelajar tersebut terhadap kedua-dua mereka dilakukan dengan tujuan untuk menutup kebenaran di sebalik dakwaan insiden gurauan lucah di bilik darjah sebelum ini.

Ia merupakan antara dakwaan di dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas pelajar berusia 17 tahun itu dan bapanya Saiful Nizam Ab Wahab berhubung isu kontroversi di sekolah yang tercetus pada tahun lalu.

Bekas guru SMK Puncak Alam, Khairul Nizam Sanuddin, pengetua sekolah menengah berkenaan Sarimah Mohammed Nor, pengarah pendidikan negeri Selangor Anismah M Noh, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin dan kerajaan disenaraikan sebagai defendan pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima dalam tuntutan balas tersebut.

Sebelum ini, dilaporkan Khairul Nizam memfailkan saman fitnah terhadap Ain dan bapanya berhubung video yang dimuat naik menerusi dengan mendakwa seorang guru membuat jenaka mengenai rogol semasa sesi pembelajaran pendidikan jasmani dan kesihatan.

Peguam Sankara Nair yang mewakili Ain Husniza dan bapanya berusia 42 tahun sebelum ini berkata mereka akan memfailkan tuntutan balas terhadap guru berusia 43 tahun itu.

Dilaporkan bahawa Khairul Nizam telah dipindahkan buat sementara waktu ke Jabatan Pendidikan Selangor, sementara menunggu siasatan polis berhubung perkara tersebut selesai.

Menurut salinan tuntutan balas yang difailkan di Mahkamah Sesyen Klang pada 4 Mac dan dilihat oleh Malaysiakini, plaintif-Plaintif menegaskan bahawa jenaka seksual tersebut adalah sangat melampau (“extreme”) sehingga ia tidak boleh dianggap sebagai penghinaan (“mere insult”), kegusaran (“annoyance”) atau penindasan remeh-temeh (“petty oppression”) semata-mata.

Tindakan undang-undang guru tersebut pada asalnya difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan kemudian ditukarkan ke Mahkamah Sesyen Klang.

Ain dan bapanya mendakwa guru berkenaan sepatutnya lebih peka terhadap kesan buruk gurauan lucah yang dikeluarkan terhadap Ain dan pelajar perempuan lain.

Mereka mendakwa ini berikutan sesi pembelajaran pendidikan jasmani dan kesihatan ketika itu, yang merupakan kali pertama pelajar lelaki dan perempuan digabungkan untuk sesi pembelajaran yang sama.

Menurut Ain dan Saiful Nizam, ia adalah tindakan melampau dan keterlaluan apabila guru terbabit mengungkapkan jenaka seksual tersebut yang telah secara langsung dan tidak langsung menyebabkan pelajar perempuan itu diancam dengan tindakan keganasan serta ancaman rogol.

Malah menurutnya, ungkapan jenaka seksual tersebut telah menyemai minda toksik.

Plaintif juga berhujah bahawa disebabkan gurauan seksual yang sangat menjejaskan psikologi pelajar terbabit, Ain Husniza mengalami tekanan emosi dan kejutan saraf yang serius.

Plaintif mendakwa bahawa ini lebih-lebih lagi kerana Khairul Nizam telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memberi pengajaran tentang kesan gangguan seksual dan cara mencegahnya.

“Namun demikian, semasa sesi pengajaran tersebut dijalankan, defendan pertama telah dengan niat (“intentionally”) atau dengan melulu (“recklessly”), tanpa apa-apa provokasi dan dengan niat jelas dan nyata untuk menyebabkan kemaluan (“embarrassment”) and kemarahan yang kuat (“maximum indignance”) kesantunan (“modesty”) setiap pelajar termasuk plaintif pertama dengan membuat ungkapan jenaka seksual tersebut.

“Ia adalah jelas, secara natural, nyata (“obviously apparent”) dan boleh diduga (“forseeable”) bahawa tindakan defendan pertama dalam mengungkapkan jenaka seksual tersebut akan menyebabkan kemaluan terhadap para pelajar terutamanya kepada pelajar perumpuan, termasuk plaintif pertama.

“Plaintif-plaintif menegaskan bahawa ia adalah jelas terbukti defendan pertama telah bertindak secara nakal dengan sengaja (“diliberately mischievious”) dalam mengungkapkan jenaka seksual tersebut,” dakwa Ain Husniza dan Saiful Nizam.

“Akibat daripada jenaka seksual yang sangat menindas dan merosakkan psikologi (“deeply oppressive and psychologically damaging”), ia telah menyebabkan plaintif pertama mengalami tekanan emosi dan/atau kejutan saraf yang teruk.

“Bukan sahaja hak undang-undang plaintif pertama terhadap keselamatan peribadinya telah dilanggar dengan ganas (“violently breached”), tetapi Plaintif Pertama juga mengalami ketakutan (“extreme fright”), kesedihan (“sadness”), penghinaan (“humiliation”), kebimbangan (“anxiety”) dan ancaman keganasan dan kecederaan peribadi yang berterusan (“constant threat of violence and personal injuries”),” menurut Ain Husniza dan Saiful Nizam.

Jejas kesihatan fizikal dan mental

Bapa dan anak tersebut menegaskan berikutan ancaman-ancaman yang diterima, ia telah menyumbang kepada ketidakupayaan pelajar itu untuk tidur sepanjang tempoh berkenaan (“insomnia”) yang telah menjejaskan kesihatan mental, fizikal dan psikologinya.

Disebabkan ancaman yang semakin meningkat, Ain Husniza terpaksa mengecualikan dirinya daripada menghadiri sekolah, sehingga dia menerima surat amaran mengenai diberhentikan persekolahan.

Saiful Nizam berkata disebabkan tidak mempunyai pilihan lain, dia mendaftarkan anaknya ke sekolah swasta, yang menawarkan persekitaran yang lebih selamat dan sihat.

Ini menurutnya, telah menyebabkan dia mengalami kerugian kerana perlu menanggung kos perbelanjaan untuk membiayai pembelajaran anaknya di institusi swasta.

“Oleh sebab surat amaran mengenai pemberhentian sekolah, plaintif pertama telah mengalami tekanan emosi yang lebih serius berkaitan dengan pelajarannya.

“Plaintif-Plaintif memplidkan bahawa plaintif pertama tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajarannya dan persediaannya untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana keadaan fikirannya yang tidak stabil.

“Plaintif Pertama sering kali mengalami pengsan (“blackout”) dan/atau berfikiran layang (“absent- minded”). Keadaan fikiran layang yang sering berulang (“recurring”) ini bukan sahaja memberi kesan kepada pelajarannya tetapi juga telah menyebabkan prestasi akademik yang buruk,” dakwa mereka.

Menerusi tuntutan balas tersebut, Ain Husniza dan bapanya menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi pampasan dan ganti rugi teladan.

Kedua-dua mereka menuntut kaedah lima peratus ke atas jumlah penghakiman dari tarikh pemfailan tuntutan balas itu sehingga penyelesaian penuh dan muktamad.

Mereka juga menuntut kos dan apa-apa relif lain yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah.

Tindakan undang-undang guru itu, serta tuntutan balas bapa dan anak itu, ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Klang pada 21 Mac.

Khairul Nizam diwakili peguam dari firma guaman Rasshidi Ema & Yung.

Peguam dari firma guaman SN Nair & Partners pula mewakili Ain dan bapanya.