Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tindakan Dr M isu Lynas berdasarkan nasihat jawatankuasa penilaian'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua sayap wanita Pejuang Che Asmah Ibrahim menyangkal dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mengenai keputusan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad membenarkan Lynas Malaysia Sdn Bhd meneruskan operasi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Che Asmah berkata Mahathir telah bertindak atas nasihat Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Materials Plant (LAMP) kerajaan yang ditubuhkan pada 2018.

Che Asmah berkata jawatankuasa itu tidak mengesyorkan penutupan kilang penapisan Lynas di Gebeng, Pahang.

"Mahathir selaku perdana menteri ketika itu telah bertindak berdasarkan syor laporan jawatankuasa tersebut yang telah diangkat kepada jemaah menteri untuk membuat keputusan berdasarkan ‘evidence based’ dan bukan kepada sentimen atau persepsi semata-mata.

"Setelah pihak kerajaan bertukar akibat dari Langkah Sheraton, rakyat sudah tidak lagi dimaklumkan akan status perlaksanaan syor-syor dari jawatankuasa eksekutif tersebut.

"YB Kuantan (Fuziah) sepatutnya mengesa pihak kerajaan sekarang untuk memaklumkan status tindakan kerajaan melalui kementerian bertanggungjawab dalam melaksanakan syor-syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa eksekutif," kata Che Asmah.

Che Asmah berhujah bahawa pentadbiran Mahathir telah menyediakan rancangan untuk pembangunan mampan industri nadir bumi yang akan menyediakan pembangunan dan pelaburan.

Che Asmah adalah ahli jawatankuasa penilaian, pakar dalam pengurusan sisa pepejal dan bahan berbahaya serta dasar dan undang-undang alam sekitar.

Ahli lain ialah Mazlin Mokhtar, Jamal Hisham Hashim, Maketab Mohamed, Anita Abdul Rahman dan Muzamir Hasan. Jawatankuasa ini dibentuk pada Oktober 2018 dan menghasilkan laporan pada Disember tahun itu.

Che Asmah menjawab ucapan Fuziah di Dewan Rakyat semalam di mana beliau berkata Mahathir enggan menutup kilang Lynas ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir.

Pentadbiran Ismail Sabri Yaakob ketika ini telah memberikan kebenaran kepada Lynas untuk membina kemudahan pelupusan kekal untuk menyimpan sisa penulenan larut larut air (WLP) di Gebeng.