Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid: MoU 2.0 kerana PH takut kalah, citarasa rakyat kepada BN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR l Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menolak cadangan agar Putrajaya mengadakan satu lagi perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat bakal menggagalkan usahanya untuk mengadakan pilihan raya umum mengejut.

Dia berkata memorandum persefahaman kedua hanya akan memberi masa kepada PH untuk menyusun serta membaiki semula kelemahan mereka.

"Mereka ada masalah dalaman, ertinya mereka tak yakin, ertinya mereka rasa mereka ditolak rakyat.

"Pada hemat saya, jangan beri mereka peluang yang panjang untuk mereka betulkan keadaan, jangan beri peluang yang secukupunya untuk mereka menyusun barisan mereka.

"Rakyat sudah bertukar citarasa, citarasanya adalah kepada BN," katanya.

Zahid berkata demikian pada sidang media selepas melawat pusat operasi pemilihan MIC di Tampoi, Johor.

Mengulas lanjut, Zahid berkata PRU-15 boleh diadakan selepas MoU bersama pembangkang tamat pada Julai nanti.

Dakwanya, faktor 'feel good' yang dirasai rakyat dengan mereka kembali menyokong BN, perlu diambil kesempatan parti itu, sekali gus menyegerakan PRU-15.

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan persekutuan pada September tahun lalu berakhir 31 Julai ini, Ia, antara lain mempersetujui PRU-15 hanya akan diadakan selepas Julai.

"Saya harap kali ini apabila faktor 'feel good' sudah menjadi faktor utama untuk menggamit dukungan rakyat semula maka perlulah mandat baharu di peringkat nasional diperoleh daripada rakyat untuk mewujudkan kestabilan di negara kita," katanya.

Zahid dan penyokong kumpulannya dalam Umno menggunakan pilihan raya Johor untuk menekan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi mengadakan pilihan raya umum mengejut jika BN menang besar di negeri itu.

Semalam, setiausaha publisiti DAP Anthony Loke memaklumkan PH boleh meneruskan kerjasama itu melalui MoU kedua sehingga penggal parlimen tamat pada 2023.

Loke berkata dengan sokongan PH, Ismail Sabri boleh mengabaikan tekanan daripada kem Zahid untuk pilihan raya mengejut sdan meminta Parlimen menamat penggalnya sehingga 2023.

PH mempunyai 90 ahli parlimen, cukup untuk mengekalkan Ismail Sabri berkuasa jika perdana menteri itu dapat mengekalkan sokongan ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) dan GPS di pihaknya.