K’jaan belanja RM600,000 untuk cenderamata program Keluarga Malaysia
PARLIMEN l Kerajaan membelanjakan sebanyak RM600,000 untuk kos cenderamata sempena majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, termasuk program rasmi Keluarga Malaysia yang lain di seluruh negara.
Majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia itu diadakan selama empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Disember lalu, berikutan 100 hari tempoh pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Barangan atau produk untuk tujuan kempen Keluarga Malaysia yang diperolehi semasa program 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia adalah di bawah perolehan dengan jumlah harga RM600,000.00.
“Barangan ini adalah sebagai cenderamata kepada pengunjung ke program tersebut selain sebagai cenderamata dalam program-program rasmi di seluruh negara.
“Antara barangan yang dibekalkan adalah seperti beg kertas, pelitup muka, pensanitasi tangan, topi dan alat tulis,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad dalam jawapan lisan Dewan Rakyat bertarikh 10 Mac.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi, yang bertanyakan tentang jumlah kos percetakan dan penghasilan barangan produk di bawah konsep Keluarga Malaysia secara terperinci.
Ini termasuk senarai produk yang dihasilkan, kos percetakan untuk setiap produk dan nama syarikat percetakan tersebut.
Majlis Keluarga Malaysia di KLCC itu menyaksikan lebih 103,000 pengunjung dan diteruskan di peringkat negeri melalui jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia.
Acara di KLCC itu mendapat kritikan dan penganjur program itu telah didenda sebanyak RM1,000 kerana pengunjung yang hadir kebanyakannya gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal, bagi membendung penyebaran jangkitan Covid-19.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai