Skip to main
Logo Malaysiakini

Siasatan isu 'cecincin sotong usus babi' masih berjalan - Idris

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan beberapa Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) bersama Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masih menjalankan siasatan berhubung tular dakwaan cecincin sotong yang diperbuat dengan dubur atau usus babi dijual di pasaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dalam satu kenyataan berkata perkara tersebut sedang dalam siasatan pihak berkuasa.

"Satu perbincangan antara pihak Jakim bersama KPDNHEP dan tiga Jain iaitu Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis telah diadakan baru-baru ini.

"Hasil laporan mesyuarat tersebut memaklumkan siasatan masih berjalan dan sampel makanan tersebut telah dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan analisis dan pengesahan," katanya.

Khabar angin yang mengatakan produk sejuk beku cecincin sotong diperbuat daripada dubur babi baru-baru ini tersebar di internet, bahkan mendorong pihak kerajaan untuk menyiasat perkara itu.

Syarikat terbabit juga dilaporkan mengadakan sidang media untuk menolak spekulasi berkenaan dan menegaskan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap warga maya yang menyebarkan dakwaan itu.

Menurut Idris, Jakim juga pada masa yang sama telah menghubungi telah menghubungi badan pensijilan halal di China iaitu Shandong Halal Certification Services bagi mendapatkan pengesahan berhubung sijil halal produk berkenaan.

"Hasil siasatan akan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa berkaitan setelah keputusan analisis makmal dikeluarkan oleh Jabatan Kimia Malaysia.

"Sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan oleh mana-mana pihak kepada peraturan yang telah ditetapkan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengambil tindakan tegas untuk menjaga kemaslahatan masyarakat," katanya.

Selain itu, Idris berkata masyarakat digalakkan untuk membuat aduan dan merujuk kepada Jakim, jika terdapat sebarang keraguan terhadap produk-produk di pasaran untuk penjelasan.