Skip to main
Logo Malaysiakini

Hasni: Kerajaan negeri belum putuskan projek tambak laut Muar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan mengenai penambakan laut di Muar.

Namun dia yang menjadi menteri besar selepas kerajaan Pakatan Harapan dijatuhkan pada 2020 berkata, sekiranya BN menang esok berjanji pertimbangan mengenai projek itu akan dibuat mengikut proses yang sepatutnya.

Katanya kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan pembangunan dan ia akan diberi pertimbangan sewajarnya.

"Saya pasti pelabur sangat berminat di Johor dan mereka mahu melaksanakan pelbagai macam pembangunan.

"Sebagai kerajaan kita patut mempertimbangkan sebarang cadangan yang baik untuk ekonomi, mencipta peluang pekerjaan dan membawa memajukan negeri," katanya kepada media selepas mengadakan ceramah di Kampung Parit Talibek di Benut petang tadi.

Hasni yang bertanding bagi mempertahankan kerusi Benut sebelum itu berceramah di depan kira-kira 50 penduduk kampung serta penyokong BN menjelang hari pengundian esok.

Semalam Malaysiakini melaporkan rancangan untuk membina pulau buatan manusia di luar pantai Muar. Kawasan itu dirancang seluas 1,295 hektar atau kira-kira satu per empat saiz Putrajaya.

Patutnya akhir Jan lalu

Projek Marahani Energy Gateway itu - yang mempunyai kaitan dengan kerabat diraja - bercadang membangunkannya sebagai pusat kemudahan untuk minyak dan gas.

Kata Hasni dia akan meneliti cadangan projek tersebut selepas kerajaan negeri dibentuk nanti.

"Kami masih di peringkat serahan cadangan dan kerajaan (negeri) belum meluluskannya.

"Kita bentuk kerajaan baru dulu, kemudian mungkin kita boleh bercakap mengenai perinciannya," tambah pengerusi Umno Johor itu lagi.

Di atas kertas Hasni dijangka akan menang selesa di Benut.

Menurut laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek Marahani Energy Gateway itu kerajaan negeri di bawah Hasni sebelum ini sudah memberikan persetujuan untuknya pada 6 Julai tahun lepas, dan ia tertakluk kepada proses yang sewajarnya.

Antara halangan yang mesti diatasi projek itu termasuklah draf Rancangan Struktur Johor 2030 yang versi asalnya tidak mengambil kira kerja-kerja penambakan di luar pantai Muar.

Menurut laporan EIA, projek itu dijangka memberi kesan kepada hampir 1,000 nelayan tempatan selain kawasan kayu bakau yang ada di sepanjang pantai Muar.

Kerajaan Johor bersetuju dengan cadangan laporan tambahan supaya pengubahsuaian kepada draf Rancangan Struktur Johor 2030 dapat dibuat untuk menampung kerja-kerja penambakan dan industri minyak dan gas pada masa depan.

Tempoh bantahan awam bagi Pelan Struktur Johor 2030 yang diubah suai itu berakhir pada Dis lalu dan proses seterusnya ialah untuk mendapatkan kelulusan exco Johor.

Keputusan mengenai pindaan projek itu sepatutnya dibuat pada 27 Jan lalu sebelum ia boleh dimulakan.

Bagaimanapun, Hasni berkata keputusan masih belum dibuat. Dia mengumumkan pembubaran DUN pada 22 Jan sekali gus membuka laluan kepada PRN.

[Baca berita penuh]