Skip to main
Logo Malaysiakini

'Makin ditegur makin menjadi-jadi...'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Khairuddin Aman Razali, malam ini kelihatan menzahirkan rasa kecewa dengan pendekatan kempen parti itu mendepani lawan mereka di Johor.

Malah ahli parlimen Kuala Nerus itu memetik sepotong ayat al-Quran yang menceritakan kisah mengenai dua nabi dengan Firaun.

Kata Khairuddin nasihat sudah pun diberi agar kempen dijalankan mengikut lunas-lunas Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Namun, tambahnya, dasar itu kelihatan tidak menggiurkan.

"Makin ditegur makin menjadi-jadi.

"Menyerang lebih seronok untuk menarik penonton dan penyokong sendiri," katanya.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera adalah dasar yang ditawarkan PAS semasa parti itu bersama sekutunya menyertai pilihan raya umum (PRU) lalu.

Bekas ahli Jawatankuasa Pusat PAS yang digugurkan itu tidak menamakan sesiapa dalam kenyataan bersahaja tersebut namun ia menarik apabila muncul selepas beberapa pemimpin parti itu mengeluarkan kenyataan keras terhadap Umno.

Hanya bertawakal saja

Ketika hubungan dengan Umno semakin regang, Khairuddin dilihat menjadi sebahagian kecil pemimpin PAS yang cenderung untuk mengekalkan kerjasama mereka berbanding Bersatu dalam Perikatan Nasional.

Pemecatannya daripada Jawatankuasa Pusat PAS dikatakan berpunca daripada sikap tersebut, namun dinafikan dengan tegas oleh setiausaha agung parti, Takiyuddin Hassan.

Malah Takiyuddin pada 16 Jan lalu mencabar Khairuddin agar membuat kenyataan pemecatannya dibuat kerana isu Muafakat Nasional dan PN.

Antara pemimpin PAS yang aktif menyerang Umno-BN ialah presidennya sendiri, Abdul Hadi Awang. Ahli parlimen Marang itu baru-baru ini menggelar Umno sebagai parti yang tidak bermoral serta seumpama itik yang patah kaki.

Hari ini media sosial PAS menggiatkan serangan terhadap Umno-BN menjelang hari pembuangan undi esok. Sesetengahnya menggunakan perkataan "penyamun" dan "perompak" dalam hantaran mereka.

Kata Khairuddin dengan keadaan yang ada sekarang dia hanya bertawakal saja agar diberikan kesan yang terbaik.

"Saya yakin dengan apa yang diajar oleh apa yang diajar oleh Allah," katanya.

Bekas menteri itu kemudian mengakhiri hantaran berkenaan dengan petikan ayat ke33 dan 44 surah Toha bermaksud: "Pergilah kamu berdua (wahai Musa dan Harun) kepada Firaun kerana dia tersangat jahat. Maka sebutlah kepadanya kata-kata yang lunak mudah-mudahan dia mengambil peringatan atau dia takut."