Skip to main
Logo Malaysiakini

AG perlu jawab dakwaan peguam waris sultan Sulu - Haniff

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peguam Negara Idrus Harun digesa menjelaskan lebih banyak persoalan yang timbul mengenai "anugerah akhir" AS$14.92 bilion (RM62.6 bilion) oleh penimbang tara Sepanyol kepada apa yang dikatakan waris kesultanan Sulu itu.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata Idrus harus menjawab peguam yang mewakili pihak menuntut Sulu yang telah menafikan kenyataan peguam negara yang dikeluarkan pada 28 Feb.

"Melalui dua laporan berasingan yang mengejutkan, wakil peguam pihak menuntut "waris" Kesultanan Sulu, mendakwa dengan bahasa yang keras bahawa sekurang-kurangnya dua bahagian daripada kandungan kenyataan rasmi Pejabat Peguam Negara Malaysia pada 28 Feb 2022 itu, adalah kononnya tidak benar dan memberikan kenyataan salah berhubung kedudukan terkini prosiding timbang tara dan award muktamad 28 Feb 2022 oleh penimbangtara berkaitan tuntutan itu," katanya.

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) semalam, Haniff berkata peguam pihak yang menuntut Elisabeth Mason menegaskan Malaysia secara rasmi mengiktiraf anak guamnya sebagai pewaris sah Kesultanan Sulu selama bertahun-tahun.

Mason membuat kesimpulan berdasarkan surat-menyurat antara bekas peguam negara Tommy Thomas dan rakan sekerjanya Paul Cohen pada 2019. Dia berkata kenyataan Idrus bahawa 'identiti diragui' adalah sangat mengelirukan.

Haniff juga berkata Idrus harus menjawab tuduhan Cohen bahawa Malaysia memutar belit fakta mengenai timbang tara.

Awal hari ini, Cohen menggelar Malaysia sebagai negara "penyangak" yang tidak mahu mematuhi tugas dan tanggungjawabnya sebagai penandatangan Konvensyen New York

"Sememangnya, dakwaan peguam pihak menuntut "waris" Kesultanan Sulu itu, bukan sahaja menampilkan secara serius percanggahan dengan kandungan kenyataan rasmi Pejabat Peguam Negara Malaysia pada 28 Feb 2022 itu, malah ianya mencabar martabat dan maruah tentang cara tadbir urus antarabangsa Malaysia di mata dunia.

"Hatta, ianya adalah terpentinh bahawa Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara Malaysia dengan segera memberi balasan dan penjelasan terhadap dakwaan serius itu, bukan sahaja untuk kefahaman kesemua Rakyat Malaysia, malah untuk perhatian dan fahaman sebenar pihak antarabangsa," kata Haniff.

Walaupun beberapa prosiding berkaitan timbang tara masih berjalan dan menunggu pelupusan di mahkamah Sepanyol dan mahkamah Perancis, namun Haniff berkata ia tidak menghalang atau melanggar mana-mana prinsip undang-undang untuk Idrus menjawab dan menjelaskan perkara itu.

"(Ini) kerana prinsip "sub-judice" tidak terpakai secara ketat sama sekali kepada undang-undang antarabangsa, dan secara khusus kepada latar belakang dan fakta tuntutan ini," katanya menjelaskan maruah negara tercalar jika Idrus gagal memberikan penjelasan.

Keturunan sultan Sulu terakhir - Sultan Jamalul Kiram II - telah berjaya mendapat anugerah daripada penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa.

Mereka berhujah bahawa anugerah itu perlu didapatkan selepas Malaysia berhenti membuat bayaran tahunan RM5,300 kepada waris sultan Sulu sejak 2013.

Malaysia didakwa melanggar perjanjian itu pada 2013, apabila ia berhenti membuat bayaran tahunan RM5,300 kepada waris sultan Sulu, melalui pentadbiran Filipina.

Malaysia berpendirian proses memberikan anugerah itu 'cacat' dan tidak mengiktiraf tuntutan mereka.

[Baca berita asal]