Adun DAP dakwa calon BN cuba raih sokongan melalui media sosial
PRN JOHOR | Wakil rakyat DAP Chong Zhemin mendakwa calon BN DUN Yong Peng, Ling Tian Soon melanggar undang-undang pilihan raya dengan cuba meraih sokongan melalui video yang dimuat naik di media sosialnya.
"Klip video tersebut dimuat naik di akaun Facebooknya pada jam 1.30 pagi tadi. Tindakan meraih sokongan pada hari pengundian adalah melanggar Akta Pilihan Raya," katanya melalui pesanan teks kepada Malaysiakini hari ini.
“Saya menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan terhadapnya dengan segera,” kata Chong lagi.
Dalam rakaman berdurasi 4 minit itu, isteri Ling memakai baju biru dengan perkataan "Yong Peng”. Dia berkongsi perasaan serta pengalamannya bersuamikan seorang yang sibuk dengan tugasan politik dan berkhidmat kepada pengundi.
“Ketika dia kalah (pada pilihan raya umum 2018), dia nampak ceria dan saya fikir dia tak sedih sangat. Ramai yang kata mereka tak perlu mengundi Tian Soon kerana mereka merasakan dia akan terus berkhidmat walaupun mereka tidak mengundinya.
"Tapi saya rasa undi untuknya adalah demi memberi penghargaan kepadanya," katanya.
Rakaman itu juga diiringi dengan kata-kata "Undilah dia dan berikan penghargaan terhadap kerja-kerjanya selama ini.”
Chong berkata pembantu kepada calon PH di situ akan membuat laporan kepada pegawai pengurus pilihan raya.
Sementara itu, Ling menjelaskan bahawa klip video itu bukanlah berniat untuk meraih sokongan kerana tiada logo parti dipaparkan dan hantaran itu dimuat naik di akaun Facebooknya.
"Ini hanyalah video pendek dari isteri saya untuk saya dan saya hanya berkongsinya. Saya (turut) berkongsi kehidupan saya kepada anda semua di media sosial. Ini juga perkara biasa. Ia satu perkara normal.
"Saya tidak melakukan siaran langsung yang memaparkan logo parti dengan memberi mesej anda mesti menyokong saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Johor.
Logo dekat pusat mengundi
Sementara itu, Chong berkata PH turut membuat aduan kepada SPR selepas seorang penyokong BN yang memakai baju gabungan itu berkempen pada hari pengundian.
Selain itu, katanya lagi, kenderaan berlogo BN dilihat membawa pengundi kelihatan kira-kira 50 meter dari pusat mengundi di Yong Peng.
"Seorang penyokong BN yang memakai baju dengan perkataan 'Ah Soon' hanya 10 meter dari pusat mengundi SMK Dato' Seth. Ini melanggar Akta Pilihan Raya," katanya.
"Di pusat mengundi yang sama, dua kenderaan dengan logo BN didapati meletakkan kenderaan kurang 10 meter dari pusat mengundi itu, di mana ia merupakan satu lagi pelanggaran akta (pilihan raya).
PH telah membuat aduan dan bantahan kepada pegawai SPR yang ditempatkan di pusat mengundi SK Seri Bertam.
"Tindakan nampaknya telah diambil kerana tiada penyokong dan kenderaan kelihatan apabila kami periksa semula selepas itu," menurut Chong.
Pada masa sama, Chong menggesa BN supaya menghormati undang-undang dan menghentikan aktiviti kempennya.
Sementara itu, dia berkata beberapa pengundi ditemui dengan slip mengundi BN dan PN, dipercayai diberikan kepada mereka di dua pusat mengundi, termasuk di DUN Yong Peng.
Chong juga menyatakan bahawa sembilan pengundi didapati membawa slip mengundi itu di dalam pusat mengundi SK Seri Bertam dan SMK Dato' Seth.
"Ejen kira undi (Paca) kami telah membuat laporan kepada SPR bahawa sebanyak sembilan slip mengundi yang mempunyai logo PN dan BN, dengan tanda 'X' ditemui bersama pengundi.
“Selepas aduan dibuat, slip pengundian tersebut telah diambil,” katanya.
Hanya satu slip undian ditemui di dalam SMK Dato' Seth.
“Terpulang kepada calon kami, Alan Tee untuk memutuskan sama ada dia mahu lakukan laporan polis atau tidak,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai