Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersih: Sekat pesakit Covid-19 mengundi langgar perlembagaan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | NGO reformasi pilihan raya itu mengakui kebimbangan kesihatan tetapi gesa SPR perkenal SOP tampung segmen pengundi positif Covid-19.

NGO Bersih berkata tindakan pihak berkuasa menghalang pesakit Covid-19 mengundi melanggar hak mereka di bawah perlembagaan.

Kumpulan reformasi pilihan raya itu mengakui mengenai kebimbangan kesihatan tetapi berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kewajipan untuk memperkenalkan prosedur yang boleh menampung segmen pengundi ini.

“Pendirian Bersih adalah SPR perlu accomodate pengundi yang berstatus positif dan tidak ada kuasa untuk menghalang mereka mengundi kerana hak mengundi dijamin di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

"Menghalang hak untuk mengundi jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata penyelaras pemantau pilihan raya Bersih, Ashraf Sharafi.

Di bawah Perkara 119 (2), kriteria yang membatalkan kelayakan seseorang daripada mengundi adalah jika mereka sedang dirawat kerana "penyakit mental atau kecacatan mental" atau sedang ditahan dalam tahanan.

Awal hari ini, seorang wanita yang positif Covid-19 didenda RM1,000 selepas hadir mengundi di Larkin.

Ini selepas pihak berkuasa kesihatan memeriksa aplikasi MySejahteranya yang menunjukkan statusnya berwarna merah - menunjukkan dia ialah pesakit Covid-19.

Wanita itu mendakwa dia tidak tahu bahawa dia tidak dibenarkan mengundi semasa berada dalam tempoh kuarantin, menurut Free Malaysia Today.

Peguam Ainie Haziqah berkongsi di Twitter mengenai seorang saudaranya yang positif Covid-19 telah diberi amaran oleh pihak berkuasa untuk tidak mengundi.

"Makcik saya di Bukit Pasir diberi amaran oleh tiga anggota polis yang datang ke rumahnya bahawa dia positif Covid-10 dan tidak boleh keluar mengundi, jika tidak dia akan didenda RM5,000," kata Ainie.

Menurut SOP Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk pengundian Johor, ia akan memudahkan orang yang disyaki dijangkiti Covid-19 untuk mengundi di ruang yang berasingan daripada pengundi lain.

Ini jika mereka menunjukkan simptom jangkitan. Bagaimanapun, SPR enggan membenarkan orang ramai mengundi sekiranya mereka disahkan positif Covid-19 sebelum hadir ke pusat mengundi.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Kesihatan berkata: "Prosedur Operasi Standard adalah hasil perbincangan dan nasihat pelbagai agensi dan telah dipersetujui sebelum ia akhirnya dikeluarkan."

[Baca berita asal]