Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PKR pula dakwa 3 lagi pusat mengundi ditutup awal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Calon PKR di DUN Layang-Layang, Dr Maszlee Malik akan membuat bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan dakwaannya sekurang-kurangnya tiga pusat mengundi di kawasan berkenaan ditutup lebih awal sebelum tamat masa mengundi.

"Kejadian sama berlaku di tiga tempat mengundi dalam DUN Layang-Layang. Peguam kami sedang menyediakan report polis dan akan membuat bantahan.

"Minta calon dan wakil calon di tempat lain turut mengambil tindakan yang sama," ciap bekas menteri pendidikan di Twitter, hari ini.

Dia bagaimanapun tidak mendedahkan pusat pengundian yang ditutup lebih awal itu.

Awal hari ini, calon DAP DUN Bekok M Kanan juga membuat aduan yang sama.

Dia mendakwa sebanyak tiga pusat mengundi ditutup pukul dua petang sementara satu lagi akan ditutup pada 4 petang.

"Saya terkejut dengan keputusan SPR untuk menutup pusat mengundi lebih awal kerana jumlah pengundi yang rendah. Apakah rasional di sebalik keputusan SPR ini?

"Mereka sepatutnya membuka ke semua pusat mengundi sehingga enam petang untuk memberi hak kepada pengundi yang masih tidak keluar mengundi.

"Bagaimana jika seorang pengundi yang kerja hari ini mungkin akan keluar mengundi pada sebelah petang?" soalnya kepada Malaysiakini.

Menurut seorang ejen tempat mengundi, tiga pusat mengundi yang telah ditutup ialah PDM Ladang Kempas, Ladang Getah Eldred Bekok dan Kampong Jawa Chaah, manakala PDM Chaah Timur ditutup pada pukul 4 petang.