Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS jawab Zahid: Sikap sombong tidak sihat, perlu dibaiki

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan tidak menyambut baik enyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam yang tidak memandang kerjasama dengan parti lain mempunyai makna sekiranya Umno menang besar dalam PRN Johor. 

Kata Takiyuddin, dalam setiap keadaan pun, sikap ihsan dan bekerjasama tetap langkah yang bijak, dan sikap sombong adalah sikap yang tidak sihat dan harus dibaiki. 

“Meski kita berjaya dalam satu segmen, berihsan dan bekerjasama tetap suatu langkah bijaksana dalam semua keadaan, apatah lagi  tatkala kita masih menumpang ehsan dalam satu segmen yang lain.

Arrogance is an unhealthy ego in need of repair (Sikap sombong ialah ego tidak sihat yang perlu dibaiki),” ciapnya di Twitter, dipercayai merujuk kepada Umno BN menerusi tangkap layar kenyataan Zahid yang turut dikongsinya.

Sebelum pengumuman kemenangan besar yang ditempa BN dalam PRN Johor malam tadi, Zahid berkata gabungan itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak selepas PRN melabuhkan tirai. 

“Tetapi kalau insya-Allah kita dapat dua pertiga, saya fikir kerjasama tidak bererti,” Zahid dilaporkan berkata. 

Menyusuli Melaka, BN mendapat majoriti dua pertiga dalam PRN Johor apabila menang 40 daripada 56 kerusi DUN.

Mentadbir negeri bersama-sama PN sebelum ini, kejayaan itu menyaksikan Johor kembali ke tangan BN dengan pencabarnya berputih mata dan terpaksa berpuas hati dengan baki kerusi yang terpecah antara PH (12 kerusi), PN (tiga kerusi) dan Muda (satu kerusi). 

Meskipun Zahid tidak melihat kerjasama dengan parti lain sebagai mempunyai makna sekiranya BN menang besar - seperti yang benar-benar berlaku semalam - dia turut memberikan bayangan bahawa gabungan itu akan memberikan “dukungan” kepada wakil rakyat pembangkang. 

Dukungan itu menurut Zahid adalah dengan turut memberikan peruntukan kepada Adun-Adun pembangkang yang dipilih rakyat Johor. 

Hubungan Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional dilihat semakin goyah, apabila PAS dilihat tetap menyebelahi Bersatu yang tidak disenangi Umno. 

Bahkan, menjelangnya PRN Johor, ada beberapa pemimpin Umno dan PAS dilihat berbalas kenyataan terhadap satu sama lain, yang menambahkan ketegangan hubungan mereka. 

Ketiga-tiga parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan persekuuan di bawah teraju Ismail Sabri Yaakob. 

Namun, kemenangan besar BN dalam PRN Johor dipercayai akan menjadi pemangkin kepada desakan akar umbi Umno dalam Perhimpunan Agung Umno beberapa hari lagi, agar Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.