Skip to main
Logo Malaysiakini

Pam minyak, Perodua Kancil terbakar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengguna jalan raya tergaman melihat api marak dalam kejadian kebakaran pam minyak dan sebuah kereta di Rantau Panjang, Kelantan, kira-kira jam 8.30 pagi, hari ini.

Saksi, Syaherah Ismail, 29, berkata dia baru sahaja tiba di stesen minyak tersebut dan terkejut melihat api marak membakar sebuah pam dan kereta jenis Perodua Kancil.

Katanya, dia segera memandu keluar daripada kawasan stesen minyak tersebut kerana bimbang kebakaran akan merebak.

"Saya tergaman seketika dan melihat pekerja pam minyak lari bertempiaran menyelamatkan diri. Ada juga antara mereka cuba memadamkan api menggunakan gas pemadam yang tersedia.

"Tapi, ia agak sukar dipadam sehinggalah kedatangan pihak bomba yang menyelamatkan keadaan. Saya juga melihat lelaki yang juga pemilik kereta berlari keluar selain mengalami kecederaan pada bahagian kaki," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba, Imran Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 8.36 pagi dan terus ke lokasi kejadian.

"Sebaik sampai di lokasi, didapati benar berlaku  kebakaran membabitkan  kereta Perodua Kancil dengan peratusan kebakaran sebanyak 50 peratus dan api merebak ke sebuah pam minyak dengan kemusnahan 100 peratus.

"Kebakaran berjaya dikawal dalam masa beberapa minit sahaja dengan kekuatan enam pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang," katanya dalam kenyataan kepada media.

Bagaimanapun katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya akan bekerjasama dengan pihak polis bagi meneruskan siasatan terperinci.

"Tiada kemalangan jiwa dalam kejadian ini, manakala anggaran kerugian masih dalam siasatan. 

"Selain itu, pemandu kereta tersebut juga tidak dapat dikesan setakat ini dan kita serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," kata Imran.