Skip to main
Logo Malaysiakini

Hasni cadang orang muda jadi MB Johor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad mencadangkan pucuk pimpinan parti agar memilih orang muda untuk memimpin Johor, setelah melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri.

Hasni berkata langkah itu juga demi memastikan kemakmuran negeri berpanjangan.

Dalam kenyataan lewat petang ini, dia berkata kerajaan negeri di bawah pimpinannya telah berikhtiar sebaik mungkin untuk menjadikan Johor berdaya tahan dalam mendepani cabaran-cabaran pandemik Covid-19.

“Insya-Allah di bawah kepimpinan baru, negeri Johor akan menjadi lebih makmur dan sejahtera.

“Seperti yang saya ucapkan pada malam kemenangan BN Johor tempoh hari, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim.

“Kini merupakan masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur,” kata bekas menteri besar itu yang juga Adun Benut.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu turut menzahirkan kesyukuran dan ucapan terima kasih kepada semua ahli dan jentera komponen BN yang telah bertungkus lumus berkempen bagi memenangkan calon dan parti.

Hasni berkata kejayaan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan adalah berkat kerjasama dan kerja keras semua pihak dalam menarik sokongan rakyat Johor.

“Tahniah kepada semua calon yang berjaya memenangi kerusi yang ditandingi masing-masing, sama ada daripada BN, mahupun daripada parti-parti lain termasuk calon Bebas.

“Saya menghargai keprihatinan dan kepercayaan parti sepanjang menjayakan Pilihan Raya Negeri Johor ke-15, sehingga membawa kepada kemenangan besar BN di Johor,” katanya lagi.

Pada pilihan raya negeri Sabtu lepas, BN memenangi 40 kerusi, PH (11), PKR (satu), Muda mendapat satu kerusi dan Perikatan Nasional memperoleh tiga kerusi.

Terdahulu, Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap Sultan Johor berhubung pelantikan menteri besar Johor yang ke-19.

Pada 4 Mac, Ahmad Zahid semasa berkempen di Kota Tinggi, berkata BN telah memilih Hasni sebagai menteri besar Johor dan akan meminta perkenan Sultan Johor untuk melantik Hasni sejurus BN memenangi pilihan raya.

Presiden Umno itu berkata pemilihan Hasni berdasarkan prestasinya yang amat memberangsangkan dan memacu kemajuan kepada Johor dalam masa yang singkat.

Hasni dilantik sebagai menteri besar ke-18 pada 28 Feb 2020.

Dia merupakan menteri besar yang ketiga dilantik selepas Pilihan Raya Umum ke-18 pada 2018 selepas Allahyarham Osman Sapian dan Dr Sahruddin Jamal.

-Bernama