Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Masa untuk at-Takiri terbang tinggi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PULASAN | Ketika rencana ini ditulis, alam baru saja menurunkan hujan yang lebat. Alam juga gelap gelita. Entah apa isyarat yang cuba dihantar pada hari seorang ulama besar dari Terengganu mengumumkan dia meninggalkan partinya, PAS.

Memang dijangkakan tokoh besar itu - Dr Khairuddin Aman Razali - tidak akan berdiam diri selepas nasihat demi nasihat yang diberikannya tidak diendahkan oleh PAS. Mentang-mentanglah dia sudah digugurkan dari jawatan kanan parti...

Tetapi tindakan beliau meninggalkan PAS itu bolehlah dianggap sebagai kejutan yang sangat besar. Patutlah alam gelap gelita ketika saya meyiapkan tulisan ini pada malam begini.

Dalam difahami kekecewaan yang dialami ulama bergelar at-Takiri itu. Pengorbanannya demi parti sangat banyak. Pada suatu ketika dia adalah hulubalang parti yang digeruni ramai. Susuknya selalu ke depan. Malah beliaulah si pemberani yang menawarkan diri untuk menyekeh kepala mufti!

Dia juga yang pernah diumum membawa pulang pelaburan berbilion-bilion ringgit. Al-Fadhil at-Takiri itu jugalah yang membawa harga kepala sawit dunia naik mencanak-canak. Dan beliau rela melanggar peraturan demi menjadi seekor hudhud.

Alih-alih beliau dilayan dengan sepi. Alih-alih beliau dipandang dengan sebelah mata.

Tentulah hati dan jiwa Khairuddin terluka sedikit sebanyak di sebalik kekentalan jiwa dan raganya sebagai pejuang politik yang tahan diuji.

Beliau sebenarnya memiliki masa depan yang cerah jika terus diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat. Malah menjadi menteri besar pun sebenarnya masih tidak sesuai untuk beliau. Jawatan yang layak untuk beliau jauh lebih besar daripada itu.

Justeru at-Takiri tidak rugi apa-apa ketika beliau meninggalkan PAS. Bahkan PAS itulah yang akan mengalami kelompongan yang sangat besar - dan mungkin amat lama - tanpa beliau bersama jemaah tersebut.

PAS akan kerugian segala ilmu dan kepintaran yang ada pada beliau.

Patut hadir di PAU

Justeru langkah yang mesti diambil oleh al-Fadhil al-Ustaz Khairuddin at-Takiri ialah terus aktif berpolitik. Ketika ruang untuk beliau dalam PAS sudah tertutup, ada banyak lagi tempat untuknya bertapak.

Cuma janganlah berharap akan ada rakan-rakan yang sealiran dengannya akan ikut serta. Diyakini rakan-rakan Khairuddin di dalam PAS lebih selesa bermain dengan selamat sampai ke sudah.

Selaku seekor burung hudhud Khairuddin boleh terbang jauh dan tinggi untuk melihat di mana dahan terbaik untuknya hinggap. Atau, sebenarnya beliau tidak perlu terbang pun. Mungkin Khairuddin hanya perlu melompat sedikit dan mendaratlah di tanah sebelah.

Ia mungkin tanah yang sangat disayangi oleh beliau. Jika tidak, masakan beliau rela meninggalkan PAS demi keyakinannya kepada apa yang ada dalam mindanya.

Untuk permulaan, Khairuddin bolehlah hadir di Perhimpunan Agung Umno mulai Rabu ini. Lebih cantik dan segak jika beliau hadir siap bertanjak, bersamping dan berkeris pada hari perasmian persidangan itu Jumaat ini.

Buktikan bahawa Umno bukanlah itik patah kaki yang sempat dirawat di Rusila.

Lagi pun, apa sangatlah bezanya parti lama Khairuddin dengan Umno jika neraca perbandingan itu dibuat pada waktu ini. Bezanya mungkin hanya pada beberapa faktor. Umno tidak mudah berpuas hati, misalnya.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang gemar memerhatikan kecantikan bunga-bungaan.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.