Skip to main
Logo Malaysiakini

MOU khidmat amah Malaysia-Indonesia ditangguhkan lagi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Majlis bagi menandatangai memorandum persefahaman (MOU) Malaysia-Indonesia mengenai kemasukan Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) yang sekian lama ditunggu telah ditangguhkan buat kali kedua berturut-turut. Kali ini ia dianjakkan ke bulan hadapan.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono berkata pemeteraian yang dijangka berlangsung pada 18 Mac ini dengan disaksikan pemimpin tertinggi kedua-dua negara terpaksa ditangguhkan kerana kedua-dua pemimpin utama negara bertembung dengan agenda lain.

"Sebabnya, jadual Perdana Menteri Malaysia (Ismail Sabri Yaakob) dan Presiden Indonesia (Joko Widodo) tidak boleh (hadir) pada minggu ini kerana masing-masing sudah ada agenda. Perubahan saat akhir.

"Malaysia mencadangkan 17 Mac ini tetapi Presiden Joko Widodo tidak dapat (hadir) kerana ada agenda di luar Jakarta. Jadi, Indonesia mencadangkan 18 Mac tetapi Ismail Sabri pula ada agenda. Kita sedang mencari satu tarikh baharu yang boleh dipersetujui untuk tandatangan pada April," katanya.

Menurut Hermono, kedua-kedua negara sedang mencari untuk menetapkan satu tarikh baru pada awal April depan.

Pada 24 Jan lalu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan selepas bertemu rakan sejawatannya dari Indonesia, Ida Fauziyah mengumumkan bahawa MoU itu akan ditandatangani di Bali pada 7 dan 8 Feb.

Bagaimanapun, ia tidak berlaku kerana rundingan belum selesai.

Saravan dalam jawapannya kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat semalam, mendedahkan bahawa dia akan menjawab soalan mengenai perkara itu secara bertulis apabila pulang dari Jakarta.

Semalam, Malaysiakini mendedahkan draf aliran proses pengambilan dan penempatan pembantu rumah Indonesia menerusi My One Channel System (MyOCS) menunjukkan dua portal akan digunakan bagi menguruskan proses pengambilan.

Carta aliran draf yang dilihat menunjukkan Agensi Pekerja Swasta (APS) perlu bergerak melalui dua portal pengurusan pekerja asing dalam talian yang berasingan – MyOCS dan FWCMS - untuk mengambil pekerja rumah Indonesia.

Ia juga didedahkan oleh sumber bahawa agensi berkenaan bimbang pembayaran sepenuhnya perlu dibuat walaupun sebelum biodata pekerja dilihat dan dipersetujui.

Struktur pembayaran dalam aliran proses pengambilan ini dikatakan akan dilaksanakan melalui portal 3s Malaysia.

Walaupun tidak dapat mengulas mengenai struktur pembayaran, Hermono berkata MoU itu akan mengehadkan yuran maksimum yang dikenakan pada kadar RM15,000.

Dia menjelaskan bahawa bayaran mungkin lebih rendah bergantung kepada rundingan antara agensi dari kedua-dua negara.

Hermono menambah, gaji pembantu rumah tidak kurang daripada RM1,500 tetapi mungkin lebih tinggi bergantung kepada beban kerja dan sebagai contoh, saiz rumah.

Malaysia dan Indonesia menandatangani MoU pertama mereka mengenai pengambilan pekerja domestik pada 13 Mei 2006, diikuti dengan pindaan MoU pada 31 Mei 2011, yang tamat tempoh pada 30 Mei 2016.