Skip to main
Logo Malaysiakini

P Pinang tak berhasrat tukar nama George Town, Butterworth

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pulau Pinang tidak bercadang untuk menukar nama George Town dan Butterworth yang telah dinamakan oleh penjajah kepada nama asalnya kerana ia telah dikenali dalam kalangan masyarakat negara ini serta luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Yeoh Soon Hin berkata kerajaan negeri berpendirian kedua-dua nama tempat itu telah digunakan sejak 200 tahun dan tiada keperluan untuk menukarnya.

"Saya tidak nampak apa-apa justifikasi untuk kita menukar nama George Town (dan Butterworth) kerana nama tersebut telah terkenal sejak lama di seluruh dunia, nama dah pakai lama sejak 200 tahun lepas.

"Jadi, kerajaan negeri berpendapat tiada keperluan untuk menukar nama kerana ia adalah saranan segelintir pihak sahaja," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar mengenai pelaksanaan program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara antara Pulau Pinang dan Singapura di George Town hari ini.

Yeoh berkata sejarah asal sesuatu tempat akan tetap dikenali dan diingati namun ia tidak bermakna nama tempat perlu ditukar sewenang-wenangnya.

Yeoh berkata pihaknya tidak mahu menyusahkan majoriti rakyat hanya disebabkan permintaan daripada segelintir individu sahaja.

"Nama George Town sudah diterima ramai dan jika ingin tukar, akan libatkan penukaran banyak nama dan pelbagai pihak, jadi biarlah kekal dengan nama tersebut sahaja," katanya.

Sebelum ini, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican mencadangkan tempat-tempat yang dinamakan oleh penjajah perlu diubah kerana ia sebenarnya memadam sejarah awal tempat tersebut.

Sebelum zaman penjajahan British, George Town terkenal dengan nama Tanjong Penaga manakala Butterworth dipanggil sebagai Bagan.

-Bernama