Skip to main
Logo Malaysiakini

DPP: Transaksi bank keluarga Zeti tak relevan, ada sebelum SRC wujud

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Maklumat perbankan keluarga bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz tidak relevan dalam kes rasuah RM42 juta dana SRC International Najib Razak, menurut pihak pendakwaan.

Ketika prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini, timbalan pendakwa raya V Sithambaram berkata ini kerana transaksi keluarga Zeti berlaku pada 2008.

Sithambaram berkata ia bertentangan dengan hujah pendakwaan yang bekas perdana menteri itu menerima RM42 juta dana SRC, yang dimasukkan ke akaun banknya, antara akhir 2014 dan awal 2015.

Perbicaraan hari ini di hadapan sidang lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengenai rayuan Najib untuk mengemukakan bukti baru bagi mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Antara bukti baru yang dibangkitkan pihak pembelaan adalah maklumat perbankan suami Dzeti pada 2008.

Kewujudan SRC

Sithambaram juga berkata yang kes pendakwaan tidak bergantung kepada maklumat perbankan sebelum SRC ditubuhkan.

1MDB menubuhkan SRC sebagai subsidiarinya pada 2011. Setahun kemudian, SRC menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Wang (berhubung maklumat perbankan dalam permohonan Najib) masuk ke akaun Tawfiq antara 2008 dan 2019. Namun wang (SRC) masuk ke akaun (Najib) pada 2014.

“SRC belum pun wujud ketika wang masuk ke akaun Tawfiq, dan mereka (peguam Najib) mahu bergantung kepada perkara ini,” katanya.

Mahkamah Rayuan pada 7 Dis tahun lepas menolak cubaan Najib untuk mengemukakan bukti baru dalam kes rayuan SRC. Mahkamah yang sama pada hari berikutnya juga menolak rayuan utama bekas perdana menteri untuk membatalkan keputusan bersalahnya, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes rasuah itu.

V Sithambaram

Berhubung hujah pembelaan yang Mahkamah Rayuan tidak memberikannya pendengaran yang saksama dalam permohonan untuk mengemukakan bukti baru, Sithambaram berkata Mahkamah Rayuan tidak mengamalkan sebarang “dwistandard”.

Pemfailan saat akhir

Dia juga membangkitkan tindakan peguam Najib untuk membuat permohonan pada 1 Disember tahun lalu, dan mereka memfailkan balasan kepada hujah bertulis pendakwaan selewat 6 Disember (Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib pada 7 Disember).

Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan pasukan pembelaan najib untuk menangguhkan pendengaran permohonan berkenaan bukti baru atas sebab berkaitan Covid-19.

Ketika itu, pendengaran dibuat secara hibrid, di mana hakim dan DPP di Istana Kehakiman manakala Najib dan peguamnya menerusi aplikasi Zoom di lokasi berbeza.

“Dengan pemfailan saat akhir, apa yang mereka (peguam Najib) harapkan? Tak boleh harap penangguhan. Jika pendengaran diteruskan, merek mesti bersedia,” katanya lagi.

Prosiding di Mahkamah Persekutuan bersambung esok.

Selain Maimun, ahli panel Mahkamah Persekutuan yang lain hari ini ialah Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Namun, dia membenarkan permohonan agar hukuman ditangguhkan sementara proses rayuan berjalan.

[Baca berita asal]