Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO: Jangan tangguh warta semula hutan simpan Kuala Langat Utara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) menggesa kerajaan Selangor untuk segera mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Dalam kenyataan hari ini, PHSKLU merujuk kawasan seluas 1,222 ekar (494.5 hektar) dan menggesa menteri besar Amirudin Shari agar tidak lagi “menangguhkan proses” itu.

Gabungan itu juga menggesa kawasan seluas 104 ekar (42 hektar) diwartakan semula dan diperuntukkan untuk Kampung Orang Asli Busut Baru.

“Kami menggesa pewartaaan semula dilakukan segera untuk memastikan hutan kekal tidak disentuh dan dilindungi, seterusnya menghentikan segala ancaman terhadap kawasan hutan yang telah dinyah warta.

“Kami juga menegaskan agar tiada pembangunan dan gangguan terhadap kawasan hutan yang dinyah warta pada masa ini,” kata PHSKLU.

Gabungan itu menolak penjelasan Amirudin bahawa sebahagian kawasan hutan mungkin diperlukan untuk projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

“Kesegeraan untuk melindungi hutan ini, di saat krisis iklim dan tindakan menjejaskan alam sekitar tidak boleh dikaitkan dengan garis masa sebuah projek infrastruktur yang memakan masa bertahun untuk dibangunkan.

“Kami menekankan yang pewartaan semula 1,222 hektar kawasan hutan perlu dilaksanakan sepenuhnya, tanpa syarat dan caveat,” kata gabungan itu.

Mereka merujuk kenyataan Amirudin pada Disember 2021, yang antara lain menyatakan kerajaan negeri berhasrat untuk mewartakan semula hutan Kuala Langat Utara sebagai hutan simpan kekal pada suku pertama 2022.

Namun, ia tidak merangkumi sebahagian kawasan, yang menurut Amirudin akan tetap dinyahwartakan bagi kemungkinan penerusan projek ECRL, yang dinamakan sebagai Pintasan Serendah.

Selain itu, satu kawasan lagi turut diperuntukkan sebagai pampasan kepada masyarakat Orang Asli.

PHSKLU menegaskan setiap perancangan dan pembangunan di Selangor perlu mengambil kira kesan kepada alam sekitar.

Kata mereka, pewartaaan semula Hutan Kuala Langat Utara penting untuk mengurangkan pelepasan karbon dan merealisasikan aspirasi Selangor untuk menjadi negeri rendah karbon.

Kenyataan itu ditandatangani 16 anggota gabungan itu, antaranya Five Arts Centre, Center for Orang Asli Concerns (COAC), Greenpeace Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).