Skip to main
Logo Malaysiakini

Cecincin sotong tiada DNA babi, kata Jabatan Perikanan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jabatan Perikanan (DOF) mengesahkan tiada identifikasi porsin (DNA babi) dikesan pada sampel cecincin sotong sejuk beku seperti yang ditularkan di media sosial.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Mohd Sufian Sulaiman berkata jabatan itu melalui makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur, telah menjalankan identifikasi analisisa porsin ke atas sampel cecincin sotong itu.

“Justeru, DOF menegaskan beberapa sampel cecincin sotong sejuk beku yang mendapat permintaan tinggi daripada pengguna tempatan adalah selamat, dan tidak mengandungi DNA babi,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata hasil ujian tersebut akan dihantar kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan lanjut.

Mohd Sufian berkata pusat biosekuriti berkenaan adalah badan yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kualiti makanan sumber laut, bagi kegunaan oleh pengguna Malaysia.

Dia berkata selain mempunyai kepakaran mengesan DNA babi, pusat biosekuriti tersebut juga bertanggungjawab memastikan makanan laut dalam pasaran dan diimport ke negara ini, bebas penyakit dan kandungan dilarang selain penternak perlu mematuhi peraturan antarabangsa.

“Untuk produk makanan laut yang mahu dieksport pula, penternak perlu mendapatkan sijil keselamatan ikan dan sijil bebas bahan dilarang, barulah mereka boleh eksport produk tersebut,” katanya bahawa makmal itu telah diakreditasi MS ISO 17025.

Mohd Sufian juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak benar, kerana ia boleh menimbulkan ketidakselesaan dan keraguan dalam kalangan pengguna.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan cecincin sotong yang dijual di pasaran, diperbuat daripada usus babi dan dicampurkan perisa sotong.

-Bernama