Skip to main
Logo Malaysiakini

Warisan perlu perubahan kepimpinan - Pemuda PKR Sabah balas Shafie

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK) Sabah Razeef Rakimin memulangkan paku buah keras selepas Presiden Warisan Shafie Apdal mencadangkan Pakatan Harapan (PH) memerlukan perubahan kepimpinan selepas kekalahan dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.

Razeef mengingatkan Shafie bahawa penampilan pertama Warisan di Johor bukan sahaja menyaksikan keenam-enam calonnya tewas malah kesemua mereka turut kehilangan wang deposit.

"Saya berpandangan sudah tiba masanya Warisan melakukan perubahan kepimpinan jika tidak ingin kehilangan wang pertaruhan lagi pada pilihan raya akan datang.

"Terdapat beberapa pimpinan Warisan dilihat mampu membawa perubahan lebih baik kepada Warisan antaranya Darell Leiking dan Azis Jamman," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Shafie mengkritik prestasi buruk PH dalam pilihan raya Johor Sabtu lalu.

“Sudah tiba masanya untuk perubahan dibuat. Bukan hak saya untuk menyuruh mereka pergi … tetapi sudah tiba masanya untuk mereka pergi,” katanya.

Shafie tidak menyebut nama tetapi diketahui tidak sehaluan dengan Pengerusi PH Anwar Ibrahim kerana enggan memberi laluan kepadanya sebagai calon perdana menteri pembangkang.

Razeef berkata Shafie lebih baik memberi tumpuan kepada Sabah, mengingatkannya bahawa Warisan gagal mengekalkan kuasa di negeri itu semasa pilihan raya Sabah 2020.

"Di Sabah, parti beliau telah ditolak rakyat apabila tewas pada PRN Sabah pada 2020.

"Tidak cukup dengan itu, beberapa wakil rakyat serta pimpinan Warisan juga bertindak meninggalkan parti selepas melihat Shafie mula melupakan perjuangan hak Sabah dan fokus di semenanjung bagi mengejar cita-cita sebagai perdana menteri," katanya.

Pada PRN Sabah, Warisan memenangi keseluruhan 23 daripada 73 kerusi, menjadikannya parti terbesar di negeri itu.

Bagaimanapun, pakatan Warisan Plus gagal kerana sekutunya tidak berjaya memenangi kerusi yang ditandingi.

Sekutunya Upko hanya memenangi satu kerusi manakala DAP meraih enam dan PKR memperoleh dua, memberikan mereka jumlah 32. Sebanyak 37 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Pada PRN Johor Sabtu lalu, BN menang besar, memperoleh 40 daripada 56 kerusi di DUN.

Ini meskipun hanya memenangi 43.11 undi popular. Kemenangan besar itu sebahagiannya disebabkan oleh perpecahan pembangkang.

Ketiga-tiga parti PH dan Muda secara kolektif mendapat 29.87 peratus undi manakala Perikatan Nasional mendapat 24.04 peratus.

PH dan Muda memenangi 13 kerusi manakala PN mendapat tiga kerusi.