Skip to main
Logo Malaysiakini

PH kenal pasti punca kekalahan di Johor, akan buat pemukiman

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah mengenal pasti masalah gabungan itu yang menyumbang kepada prestasi buruk mereka semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Justeru, gabungan itu merancang untuk menganjurkan konvensyen serta pemukiman untuk menanganinya.

"Majlis Presiden PH menerima keputusan rakyat dalam PRN Johor dan mengakui kelemahan termasuk dalam isu pertandingan pelbagai penjuru oleh parti pembangkang sendiri, logo, peratusan keluar pengundi yang rendah, serta aspek penerangan dan komunikasi PH berhubung isu-isu semasa yang telah menyebabkan PH (hanya) memenangi 12 kerusi," katanya dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Madius Tangau.

“PH akan berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan ini dengan segera terutama dengan mengatur semula strategi bagi menghadapi PRU ke-15.

"Kelemahan-kelemahan ini tidak boleh diatasi oleh satu parti atau dengan satu ikhtiar sahaja, tetapi perlu diurus bersama dan secara menyeluruh.

"Oleh demikian, beberapa perkara akan dilaksana segera termasuk konvensyen dan pemukiman pimpinan PH untuk menggilap semula

idealisme perjuangan PH dan penyokong-penyokongnya serta membincangkan persiapan keseluruhan bagi menghadapi PRU15," katanya.

Majlis Presiden PH berkata mereka kekal komited kepada dasar ekonomi mampan yang boleh menyelesaikan isu pengangguran, peningkatan kos sara hidup dan pandemik Covid-19.

“Negara mesti diselamatkan daripada rasuah dan salah urus,” kata mereka.

Mereka juga mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membentangkan rang undang-undang anti-lompat semasa persidangan Parlimen kali ini seperti yang dijanjikan.

"Negara kita mesti diselamatkan dari gejala rasuah dan urus tadbir yang pincang," kata mereka.

Majlis Presiden turut menegaskan bahawa Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan pada mesyuarat Parlimen ini sepertimana yang dijanjikan oleh perdana menteri.

Kata mereka, pimpinan utama PH akan mengadakan pertemuan dengan perdana menteri dalam masa terdekat.

RUU itu, yang merupakan sebahagian daripada memorandum persefahaman antara PH dan kerajaan, ditangguhkan pembentangannya.

Sabtu lalu, BN menang besar di PRN Johor, dengan meraih 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

Ini meskipun merekan hanya meraih 43.11 undi popular. Faktor utama kemenangan mereka adalah perpecahan pembangkang.

Tiga parti komponen PH dan Muda meraih 29.87 peratus undi, sementara Perikatan Nasional mendapat 24.04 peratus undi.

PH menang 12 kerusi, Muda satu kerusi dan PN tiga kerusi.