Kuasa harus bersendalkan kebijaksanaan, kata Shahrir
Bekas ahli parlimen Johor Bahru, Shahrir Samad, menjelaskan mengapa dia kelihatan tidak memihak kepada istana dalam kemelut pelantikan menteri besar baru di negeri tersebut.
Kata Shahrir sebagai seorang demokrat dia mempuyai prinsip sendiri dan bukan memberikan ketaatan mutlak atau membabi buta.
Menurut bekas menteri itu, ada ketikanya dia bersama dengan pihak istana walaupun partinya - Umno - mengambil pendirian sebaliknya.
"Jadi, saya bukan royalist atau tegar Umno. Saya ada prinsip saya sendiri sebagai seorang demokrat.
"Kuasa, bagi saya, haruslah bersendalkan kepada kebijaksanaan," katanya hari ini.
Kelmarin bekas menteri Wilayah Persekutuan itu mengejutkan ramai apabila membuat keputusan untuk tidak akan berbahas bagi pihak Umno Johor dalam perhimpunan agung parti berkenaan yang akan bermula esok.
Shahrir berbuat demikian kerana berasa "sangat malu" dengan apa yang berlaku di negeri selatan tanah air itu selepas Umno memenangi dua per tiga kerusi dewan undangan negeri dalam pilihan raya pada 12 Mac lalu.
Sejak awal Umno menamakan Adun Benut, Hasni Mohammad, sebagai calon tunggal untuk jawatan menteri besar.
Tak sokong tak apa
Bagaimanapun pihak istana akhirnya memberi perkenan kepada Adun Machap, Onn Hafiz Ghazi, sebagai menteri besar baru.
Bernama pula malam tadi melaporkan, perwakilan Umno Johor mungkin tidak akan tampil untuk berucap atau berbahas sepanjang perhimpunan agung kali ini.
Untuk rekod langkah Shahrir dalam politik memang berwarna-warni. Dia pernah meninggalkan Umno semasa parti itu menghadapi krisis dan bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil parlimen Johor Bahru.
Di sebalik kelaziman calon bebas sukar memenangi sebarang pilihan raya - umum atau kecil - Shahrir menjadi segelintir ahli politik yang berjaya mengatasi kekangan tersebut.
Bagaimanapun Shahrir menyertai Umno selepas krisis dalaman parti berkenaan diselesaikan.
Kata Shahrir pandangan dan pendirian yang diambilnya tidak mempunyai agenda atau kepentingan.
Malah dia tidak keberatan jika pendirian tersebut disokong atau sebaliknya.
"Dalam soal hubungan antara parti dengan raja, saya mempunyai pendirian saya sendiri.
"Tidak setiap masa saya menyokong parti dalam soal ini. Dan tidak setiap masa, saya menyokong raja pula," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai