Skip to main
Logo Malaysiakini

Selangor tangani masalah jalan berlubang guna dron, laser

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan Selangor, melalui anak syarikatnya Selgem Sdn Bhd, telah memperkenalkan sistem yang memantau dan mengurus aset jalan dengan lebih cekap, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Sistem Pengurusan Aset Jalan Raya Pintar Selangor dibangunkan pada awal 2021 untuk meminimumkan kerosakan jalan, menggunakan teknologi terkini untuk mengesan jalan berlubang.

"Sistem ini mengintegrasikan teknologi Artificial Intelegence (AI), Sistem Lidar (laser Light Detection and Ranging), Dron Pintar, dan juga Camera 360 merangkumi proses pengecaman kerosakan jalan seperti pothole secara automatik, digitalisasi aliran kerja dan juga proses aduan.

"Ia telah diluluskan untuk penggunaan kepada seluruh jalan di negeri Selangor oleh pihak berkuasa tempatan bagi mempastikan penyelenggaraan jalan serta pemantauan jalan di Selangor diselaraskan,” kata Amirudin pada hantaran di Facebook.

Dia berkata sistem itu dibangunkan untuk menyokong sistem pelaporan semasa yang mengumpulkan aduan dibuat di media sosial, seperti Twitter, Facebook dan Waze, ke satu platform pusat.

Tambah menteri besar itu, sistem baru itu juga mampu memberi maklum balas mengenai status aduan di media sosial termasuk gambar kepada pengadu.

"Sistem Pengurusan Aset Jalan Raya Pintar Selangor akan mengenalpasti aduan-aduan ini dan secara automatik, dan akan mengklasifikasikan aduan mengikut daerah-daerah yang berada di dalam Negeri Selangor.

"Ia akan digunakan secara menyeluruh di semua PBT di Negeri Selangor dalam memastikan keseragaman data berpusat," katanya.

Kajian kebolehlaksanaan menggunakan dron dan kecerdasan buatan (AI) diumumkan pada 2018 untuk memantau pokok, jalan berlubang dan pelbagai infrastruktur di Selangor.

Exco kanan kerajaan Selangor Teng Chang Khim berkata dron itu berguna untuk pihak berkuasa tempatan meramalkan risiko, terutamanya apabila ada pokok yang mungkin tumbang sekiranya berlaku ribut petir.

Bagaimanapun, kerajaan Selangor telah mengumpul data mengenai jalan berlubang dari Waze sejak 2016, dalam usaha untuk memahami keadaan jalan raya dan menyediakan hasil kajian lebih baik untuk memohon lebih banyak peruntukan penyelenggaraan jalan daripada kerajaan persekutuan.

Isu jalan berlubang pernah menarik perhatian media selepas Khairy Jamaluddin ketika itu menteri sains, teknologi dan inovasi mengalami kecederaan akibat terlanggar lubang di Banting pada Disember 2020.