Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Apa lagi orang politik mahu?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PULASAN | Suasana di dataran perhimpunan sekolah rendah itu memang bingit dan sibuk. Selain kanak-kanak yang kali pertama memasuki tahun satu, bersama mereka ialah ibu, bapa, penjaga atau ibu dan bapa masing-masing.

Para guru dan kakitangan sekolah gigih bertugas. Guru besar pula memberikan taklimat dengan penekanan diberi agar ibu bapa tidak perlu bimbang. Anak-anak yang memasuki sekolah itu akan dilayan sama seperti anak-anak para guru itu sendiri.

Daripada pengumuman dan semakan yang dibuat, didapati untuk tahun satu di sekolah itu saja, ada lebih 20 kelas tersedia. Ia dibuat bagi menampung keperluan penduduk sekitar.

Pada 2010 itu, hanya itulah saja sekolah rendah yang ada di petempatan kami di sebuah kawasan perumahan di Sungai Buloh ini. Sekolah rendah kedua belum siap terbina.

Setiap kelas dibahagikan mengikut nama tertentu. Misalnya kelas 1 Agung, 1 Bijak, 1 Cantik dan seterunya. Seingat saya, ada kelas sehingga 1W.

Maksudnya untuk sekolah rendah itu, bagi menampung pelajar tahun satu saja pentadbir perlu menyediakan 23 kelas.

Dua belas tahun kemudian, sebuah sekolah menengah di kawasan petempatan sama membuka sehingga 25 kelas untuk kemasukan pelajar tingkatan satu!

Seperti tadi, setiap kelas diberikan nama mengikut abjad A sehingga Y.

Buat masa ini sebuah sekolah menengah baru sudah diusahakan, tetapi belum dapat dipastikan bila ia akan mula menerima pelajar baru.

Terpaksa kerja lebih masa

Dengan andaian setiap kelas diisi 42 orang, anda bayangkan berapa ramai pelajar untuk tingkatan satu sekolah tersebut. Dengan keadaan begitu, kita terasa sangat genius untuk mengimpikan sebuah generasi cemerlang bagi memimpin negara ini pada masa depan.

Di luar pagar sekolah, orang ramai terus dipaksa bergelut untuk menyambung hidup.

Sebuah restoran makanan segera menyebarluaskan iklan mencari kakitangan baru yang mahu berkhidmat dengan mereka. Bersama tawaran gaji pokok sebanyak RM1,500 sebulan dan ditambah elaun itu ini, serta tawaran kerja lebih masa, berapa agaknya pendapatan pekerja terbabit?

Syarikat itu juga menawarkan peluang kenaikan pangkat dengan gaji asas sebanyak RM2,000 sebulan. Juga disertakan dengan pelbagai insentif termasuk bayaran kerja lebih masa.

Gambar hiasan.

Di sana ada pekerja yang bertugas sehingga 12 jam sehari. Entah kerana kebetulan kekurangan kakitangan, atau desakan hidup yang memerlukan wang dalam segala serba-serbinya.

Dalam kedua-dua keadaan, ia adalah situasi yang terpaksa.

Dengan anggapan mereka bekerja dengan gigih setiap hari, berapakah gaji yang akan masuk ke akaun masing-masing setiap hujung bulan? Dan berapa pula yang keluar hampir serta-merta akibat beban hutang dan komitmen lain?

Kemudian kita bercakap tentang Keluarga Malaysia yang bahagia dan hal-hal muluk lain. Kemudian mengulang-ulang falasi itu ini, termasuk mengenai betapa bertuahnya negara ini.

Di satu tingkat dalam struktur masyarakat kita, ada orang yang jam tangannya saja bernilai sama dengan gaji dua tiga tahun pekerja biasa di pejabat kerajaan.

Hadiah bernilai ratusan ribu ringgit

Selipar basahan di rumah mereka pula bersamaan dengan separuh gaji bulanan pelayan kedai makan yang dibayar RM5 sejam.

Semasa membeli-belah, mereka menggunakan wang berjuta-juta ringgit untuk membeli barangan berjenama seperti Louis Vuitton, Hermes dan Giorgio Armani.

Misalnya berbelanja RM1.3 juta untuk dua tahun, atau secara purata kira-kira 1,780 sehari. Jangan lupa kadar gaji minumum di negara yang maha hebat ini ialah RM1,200 sebulan!

Untuk membiayai cukai jalan dan insurans kenderaan saja perlukan lebih RM100,000 setahun.

Ada 'ahli perniagaan' pula acah-acah malu untuk menayangkan enam tujuh buah Lamborghini yang diparkir di halaman kediaman mereka. Kadang-kadang mereka itu 'kebetulan' menjadi pemimpin politik. Kadang-kadang ada juga tuah lain yang turun dari langit.

Pada hari istimewa mereka boleh saja memberikan hadiah - jam tangan, misalnya - yang bernilai lebih RM460,000 kepada insan tersayang, atau berbelanja RM3.3 juta untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan.

Dan makna "kawan-kawan" itu pula boleh berubah-ubah dalam sekelip mata. Semalam berpeluk-pelukan sambil mengalirkan air mata gembira, hari ini boleh berseteru dengan penuh kebencian.

Dan tidak ada seorang pun daripada mereka masih tersisa rasa malu atau maruah dalam diri masing-masing.

Kerana itu bolehlah difahami mengapa ramai yang mendesak agar mereka diizinkan membuat pengeluaran wang sendiri dari kantung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekarang.

Dalam kelemasan untuk hidup dan tekanan ekonomi, memang tidak banyak yang dapat dilakukan selain daripada mencangkul simpanan yang sepatutnya disiapkan untuk hari tua.

Namun, perlu disedari mengenai fakta ini: Menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, separuh daripada pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dengan 55 peratus daripadanya adalah bumiputera.

Seberapa ramai pencarum KWSP? Menurut laman sesawang badan itu, setakat suku keempat 2020, ada 14,887,988 orang mencarum dengan hanya kira-kira 7.6 juta aktif

Kalau itu masih belum memberikan gambaran jelas, fahami angka ini: Sebanyak 4.4 juta pencarum bumiputera memiliki kurang RM10,000 dalam KWSP, dan dua juta daripada mereka mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000.

Bergelut untuk hidup

Sementara itu, kelompok minoriti yang berbaju ribuan ringgit - malah mungkin lebih mahal daripada itu - sehelai mencatur langkah masing-masing dengan sangat rakus.

Kerana itu, RM130 juta duit kita dibelanjakan untuk mengadakan pilihan raya negeri di Sabah, RM46 juta di Melaka dan RM96 juta di Johor.

Dan kini ada sekumpulan orang sedang mendesak agar pilihan raya umum (PRU) diadakan segera.

Yang mahukan PRU itu sudah tentulah bukan Pak Cik Selamat yang kerjanya berpagi-pagi bermotosikal untuk menghantar anak ke sekolah sebelum bergegas ke tempat kerjanya sebagai tukang sapu sampah pihak berkuasa tempatan.

Juga bukan Mak Cik Gayah yang bangkit dari tempat tidur sebelum subuh untuk menyiapkan nasi lemak untuk dijual di tepi jalan saban hari sambil risau memikirkan akan disaman penguat kuasa kerajaan.

Gambar hiasan.

Mereka - dan jutaan orang yang lain - mungkin tidak termimpi pun untuk menyarungkan kasut bernilai lebih daripada RM200 sepasang ketika ada orang politik membawa RM2 juta sebagai duit poketnya.

Kerana itu, barangkali sesekali kita tidak perlu lagi merisaukan berapa ramai orang kaya yang tidak membayar zakat, sebaliknya merenung sejenak: berapa juta manusiakah umat Islam yang hidup mereka tidak layak mengeluarkan zakat. Bahkan ada ramai yang selalu mengharapkan bantuan daripada lembaga zakat.

Dan lebih malang, mereka itulah yang diperkudakan untuk mengangkat para politikus agar terus kaya-raya, bersenang-lenang di atas kayangan.

Mungkin belum terlewat untuk kita menguruskan orang politik sama seperti menguruskan sampah-sarap dan bahan kumuh.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang percaya negara ini akan lebih kerap dilanda banjir kerana banyaknya sampah yang dibiarkan berkeliaran di sana-sini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.