Skip to main
Logo Malaysiakini

MP dakwa waris korban Long Covid tak dapat bantuan pengebumian

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Waris kepada mangsa yang meninggal dunia akibat komplikasi daripada jangkitan Covid-19 gagal mendapat bantuan daripada Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 Nadma, menurut Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu).

Menurut laporan portal berita kesihatan CodeBlue semalam, ini kerana sijil kematian mangsa tidak menyatakan Covid-19 sebagai sebab kematian.

“Ada pesakit Long Covid yang meninggal dunia selepas sembuh daripada Covid-19 - mereka balik rumah, ada gejala (Long Covid), dimasukkan semula ke hospital, kemudian mereka meninggal dunia.

“Tapi sijil kematian nyatakan sebab seperti ‘kegagalan buah pinggang’ sebagai sebab kematian, tanpa petunjuk lain berkaitan Long Covid atau jangkitan yang dialami mangsa sebelum itu,” katanya seperti dipetik.

Amiruddin Hamzah

Program Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu adalah bantuan sekali beri sehingga RM5,000 kepada waris mereka yang mati akibat Covid-19.

Laman web Nadma menyatakan “sijil kematian hendaklah jelas tertulis Covid-19 sebagai sebab kematian”.

Amiruddin membangkitkan perkara itu ketika ucapan penggulungan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali.

Menurut laporan CodeBlue lagi, Noor Azmi kemudian menjawab yang hospital tidak dapat menentukan sebab kematian secara sembarangan. 

Sebaliknya, dia berkata, doktor perlu melakukan diagnosis berdasarkan ujian dan jenis rawatan yang diberikan kepada si mati.

“Berhubung sama ada sebab kematian boleh dikaitkan dengan Covid-19 agar bantuan dapat diberikan kepada keluarga mangsa, anda perlu rujuk kepada Nadma; dan jika kematian boleh dikaitkan dengan Covid-19, ada pihak yang akan menentukan sebabnya.

“Jadi, jika sebab kematian dinyatakan sebagai ‘kegagalan buah pinggang’, saya pasti mereka telah buat semua ujian diperlukan untuk menyimpulkan sebab kematian adalah kegagalan buah pinggang,” katanya seperti dipetik.

Dr Noor Azmi Ghazali

Amiruddin kemudian menyangkal perkara itu dengan menegaskan kematian “pada mulanya dikaitkan dengan Covid-19” dan Long Covid.

Long Covid merujuk kepada kesan kesihatan yang dihadapi pesakit lama selepas sembuh daripada wabak itu.

Tafsirannya agak meluas dan boleh merangkumi masalah seperti gejala berterusan (antaranya keletihan, hilang deria bau dan cepat mengah) beberapa minggu atau bulan selepas jangkitan awal, dan risiko lebih tinggi untuk masalah seperti strok, kegagalan jantung dan diabetes tahap 1.

Satu tinjauan mendapati kira-kira suku daripada majikan United Kingdom melaporkan Long Covid merupakan punca utama cuti sakit jangka panjang.

Sementara itu, penilaian kerajaan United Kingdom menganggarkan vaksin mengurangkan risiko mengalami Long Covid kira-kira separuh.

[Baca berita asal]