Skip to main
Logo Malaysiakini

Permohonan Najib dapatkan maklumat perbankan keluarga Zeti didengar 10 Mei

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Permohonan Najib Razak untuk mendapatkan akses terhadap sejumlah dokumen berkaitan 1MDB, termasuk maklumat perbankan keluarga bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz, akan didengar 10 Mei ini.

Perkara itu ditetapkan Mahkamah Rayuan berhubung kes rasuah RM2.28 bilion dana 1MDB terhadap bekas perdana menteri itu.

Antara dokumen tersebut adalah yang didakwa menunjukkan keluarga Zeti menerima wang daripada Low Taek Jho, atau Jho Low, yang kini masih dalam buruan.

Najib juga memohon akses dokumen mahkamah Amerika Syarikat berhubung laporan forensik telefon bekas pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner.

Timbalan pendakwa raya mohamad Mustaffa P Kunyalam mengesahkan Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes hari ini.

“Mahkamah Rayuan menetapkan pendengaran pada 10 Mei 2022. Penghujahan telah pun difailkan (pihak yang terlibat),” katanya kepada pemberita.

Pada 12 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk mendapatkan dokumen berkaitan 1MDB.

Hakim yang menolak permohonan itu, Collin Lawrence Sequerah, turut mengendalikan perbicaraan kes rasuah Najib ini.

Najib dakwa tak tahu

Malaysiakini sebelum ini melaporkan yang suami Zeti, Tawfiq Ayman menafikan pernah menerima rasuah.

Dalam perbicaraan kes 1MDB yang masih berjalan, Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion milik 1MDB.

Zeti termasuk dalam senarai saksi yang ingin dipanggil pihak pendakwaan untuk memberi keterangan di mahkamah.

Sebelum ini, pasukan peguam Najib berhujah yang bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan beberapa individu lain bersubahat dengan Low dalam skandal 1MDB, yang didakwa berlaku di luar pengetahuan Najib.

[Baca berita asal]