Skip to main
Logo Malaysiakini

Jakim masih bawah Jabatan Perdana Menteri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kekal bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kedudukan itu kekal walaupun Mesyuarat Majlis Raja-Raja melantik Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Selama ini, jawatan itu disandang perdana menteri bermula dengan almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

"Apa yang dilaporkan (sebelum ini) adalah kurang tepat. 

“Jakim sehingga kini kekal dibawah JPM dan kekeliruan tersebut telah dibetulkan,” jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad kepada Dewan Rakyat hari ini.

Idris Ahmad

Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-258 membuat ketetapan bahawa salah seorang raja pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab sebagai pengerusi MKI selama dua tahun secara bergilir-gilir, sementara perdana menteri dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Idris berkata peranan Jakim ialah merangka dan memastikan keseragaman dalam perundangan Islam, memperkukuh pentadbiran Islam dan membangunkan pendidikan Islam.

"Fungsi ini adalah selaras dengan peranan Jakim sebagai setiausaha dan sekretariat kepada MKI, yang terletak bawah bidang kuasa Majlis Raja-raja," katanya.

Idris Ahmad berkata demikian bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai).

Pada 10 Mac lalu, beberapa akhbar melaporkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja memutuskan untuk meletakkan Jakim di bawah majlis berkenaan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad berkata laporan tersebut kurang tepat dan boleh mengelirukan.