Skip to main
Logo Malaysiakini

Asyraf Wajdi beri amaran kepada gunting dalam lipatan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAU 2021 | Pemuda Umno mengingatkan pemimpin dan menteri dari parti itu agar tidak menjadi gunting dalam lipatan ketika Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, memimpin kerajaan dengan "sebelah tangan tetap terikat".

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata meskipun ketika ini kerajaan campuran sedang diterajui naib presiden Umno, parti itu masih perlu bergantung kepada ihsan pembangkang dan parti lain untuk terus berkuasa.

Jika ada pihak yang berpaling tadah, katanya, kerajaan yang ada akan jatuh.

"Justeru, perdana menteri dan menteri-menteri di medan memegang mandat dan amanah parti untuk mengurus urusan rakyat, mentadbir maslahah negara dan kerajaan, sementara kepimpinan parti pula memperkukuhkan pangkalan, membangunkan kader-kader pejuang dan melakarkan garis panduan buat pedoman barisan yang berada di medan.

"Jika semua faham kedudukan dan tanggungjawab masing-masing, parti akan bertambah kuat dan kukuh," katanya.

Menyatakan hal itu semasa menyampaikan ucapan dasar, Asyraf Wajdi juga mengingatkan pihak terbabit agar tidak menari mengikut irama musuh.

Katanya tidak timbul isu pelbagai gelaran dan label seperti kluster menteri, kluster PWTC, kluster Royale Chulan, kluster Putrajaya, kluster menang ataupun kluster kalah.

"Janganlah pula ada di antara kita yang nak jadi batu api, batu ronson, tukang cucuk, tukang kipas, tukang bakar kepada bos masing-masing, mengadu-domba, menghasut, kononnya atas alasan nak jaga bos, tapi hakikatnya mereka inilah sebenarnya gunting dalam lipatan, api dalam sekam, merosakkan bos hingga tergamak membakar jambatan dan menghancurkan institusi," katanya.

Asyraf Wajdi berkata meskipun nakhoda baru kerajaan adalah pemimpin kanan Umno, namun sebelah tangan tetap terikat.

Disebabkan itu, hampir semua lantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih kekal serupa dan banyak dasar-dasar yang baik masih tersekat.

Katanya, buat pertama kali dalam sejarah ketua kerajaan dan ketua parti adalah dua individu berbeza.

"Namun inilah sebenarnya peranan dan fungsi parti kita. Ingat, sehebat mana pun jeneral di medan perang, akhirnya dia harus kembali merujuk kepada pangkalan.

"Sehebat mana pun tentera di lapangan, di markas juga akhirnya dia pulang. Sejauh laut mana pun kapal menyeberang, dia masih akan terpaksa mudik kembali ke pelabuhan," katanya.