Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Muar bimbang projek tambak laut Sultan Johor beri kesan pada nelayan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan kebimbangannya berhubung kesan buruk rentetan projek tambak laut milik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di luar perairan pantai Muar, Johor yang kemungkinan dimulakan tahun ini.

Syed Saddiq berkata projek tersebut bakal memberi kesan serta menjejaskan mata pencarian kira-kira 1,000 nelayan yang tinggal di kawasan itu.

Dia menggesa kerajaan negeri mengadakan sesi dialog dengan pihak berkepentingan termasuk nelayan, peniaga kecil, ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), sebelum meneruskan projek itu.

"Kini (semalam) saya berada di Parit Jawa, berjumpa dengan komuniti nelayan yang telah pun menyampaikan keresahan mereka berkenaan projek mega tambak Muar, yang sebesar 1,300 hektar atau seperempat Putrajaya untuk Maharani Energy Gateway.

"Walaupun ada laporan mengatakan pihak nelayan telah dirunding, namun majoriti nelayan yang saya temui menyatakan tidak tahu langsung mengenai projek ini dan laporan tersebut juga menyatakan di kalangan 100 nelayan yang ditemui hanya 23 nelayan saja yang bersetuju.

"Walhal di Muar ini ada lebih 1,000 keluarga nelayan.

Projek Maharani Energy Gateway

"Projek ini berkait rapat dengan kelangsungan nelayan, peniaga kecil disini, harga rumah disini. Jadi, ingat, generasi ketiga dan keempat telah ada dalam komuniti nelayan dan kita wajib bela dan bantu mereka.

"Jadi, saya merayu dan mendesak kerajaan negeri untuk ambil adakan sesi dialog yang menyeluruh bersama semua nelayan. Ini melibatkan masa depan mereka dan anak-anak mereka. Tolong bantu," kata Syed Saddiq (atas) dalam video yang dimuat naik di akaun Instagram semalam.

Pada 10 Mac lalu, Malaysiakini melaporkan sebuah projek tambak laut milik Sultan Ibrahim di luar perairan pantai Muar, Johor kemungkinan dimulakan seawal tahun ini.

[Baca berita asal]