PRU15: Wanita tak mahu Umno berpecah, bincang elok-elok
PAU 2021 | Perwakilan Wanita Umno hari ini menyeru semua pihak dalam parti itu merapatkan hubungan antara satu sama lain serta bekerja secara berpasukan untuk menentukan masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Perwakilan Perak, Zarina Abdol Majid, berkata para pemimpin Umno tidak wajar saling bermusuhan serta berpuak-puak.
Tindakan begitu, katanya, seolah-olah menghalakan senjata ke kubur sendiri.
"Biarlah pucuk pimpinan khasnya perdana menteri berbincang bersama kepimpinan tertinggi parti dan rakan-rakan di bawah, (dapat) perkenan Yang di-Pertuan Agong pada waktu yang sesuai.
"Tidak perlu kita membuka strategi kita berkaitan tarikh PRU kerana ia akan diketahui pihak musuh yang akan bersedia dengan strategi mereka pula," katanya semasa berbahas di Perhimpunan Wanita Umno di Kuala Lumpur hari ini.
Dia yang juga ketua Wanita Umno Bagan Serai menambah PRU adalah berbeza dengan pilihan raya negeri justeru ahli parti tidak boleh berasa selesa dengan kemenangan yang dicapai.
Katanya ahli Umno perlu memberikan kepercayaan kepada pemimpin parti untuk membincangkan isu berkenaan demi kepentingan agama, bangsa dan negara,.
Zarina juga mengingatkan kekalahan Umno dalam PRU ke-14 lalu mesti dijadikan pengajaran.
Sementara itu perwakilan Wanita Umno Perlis, Asmaiza Ahmad, turut berkongsi pandangan sama.
Katanya, lima pemimpin tertinggi Umno perlu berbincang dengan baik dan mencari kesepakatan untuk menentukan masa yang sesuai mengadakan PRU.
Lima pemimpin tertinggi parti yang dimaksudkan Asmaiza itu ialah presiden, timbalan presiden, dan tiga naib presiden.
Dakwa ketua Wanita Umno Padang Besar itu rakyat tidak sabar-sabar lagi untuk memberikan mandat baru kepada BN supaya menjadi kerajaan seperti sebelum ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai