'Beritahu Filipina gugurkan tuntutan ke atas Sabah'
Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan menekan kerajaan Filipina supaya menggugurkan tuntutannya ke atas Sabah.
Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) berkata dia telah mengemukakan dua usul agar perkara itu dibahaskan di parlimen tetapi dimaklumkan secara bertulis untuk membangkitkannya semasa penggulungan perbahasan menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong.
Dia berkata tuntutan ke atas Sabah dibahaskan secara terbuka di Filipina tetapi tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada penggubal undang-undang Malaysia.
"Mereka berdebat secara terbuka dakwaan ini ke atas Sabah. Debat secara terbuka! Jadi saya hairan mengapa kita begitu takut untuk membahaskan perkara ini.
"Kenapa kita tidak hadapi masalah ini? Kita asyik kata kita tak iktiraf, tak iktiraf, tak iktiraf. Tak iktiraf, cakap itu sahaja tidak akan menyelesaikan masalah.
"Kamu harus beritahu Filipina untuk menggugurkan tuntutan ini! Takkanlah orang Sabah mahu tunggu sampai 1,000 tahun lagi mengenai isu ini," katanya semasa penggulungan perbahasan titah Yang Di-Pertuan Agong oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Mas Ermieyati Samsudin.
"Kadang saya rasa apa? Minyak kami kamu mahu, keselamatan kami kamu usai," tambahnya.
Isnaraissah berkata isu tuntutan ke atas Sabah menjadi tema utama setiap kali pilihan raya utama di Filipina, melangkaui dakwaan hubungan dengan Kesultanan Sulu yang sudah tidak berfungsi.
Dalam jawapannya, Mas Ermieyatie menegaskan bahawa kerajaan telah mengambil tindakan termasuk mencabar arahan bayaran pampasan sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.6 bilion) yang diputuskan oleh penimbang tara Sepanyol kepada pihak yang dikatakan waris Sultan Sulu.
"Saya memohon supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat memberikan sepenuh sokongan kepada Kerajaan untuk memastikan tindakan yang diambil bagi mencabar keputusan ini dapat dilaksanakan tanpa gangguan politik supaya kedaulatan negara sentiasa terpelihara," katanya.
Letak aset tentera di lokasi strategik
Ahli Parlimen lain yang bangun mencelah termasuk Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), Gobind Singh Deo (PH-Puchong) dan Hanipa Maidin (PH-Sepang).
Azis antara lain menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk menempatkan aset tentera di lokasi strategik di Sabah, serta menarik balik perintah berkurung pada masa ini atas sebab keselamatan.
Pada 10 Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan akan mencabar arahan bayaran bayaran pampasan yang diputuskan oleh penimbang tara Sepanyol kepada waris kesultanan Sulu.
Dia juga menjelaskan kepada Dewan Rakyat bahawa bayaran pampasan itu adalah tidak sah dan prosiding timbang tara itu diputuskan sewenang-wenangnya.
Mereka yang mendakwa merupakan keturunan kesultanan Sulu membuat tuntutan itu selepas Malaysia menghentikan bayaran tahunan sebanyak RM5,300 kepada waris kesultanan Sulu selepas 2013.
Tentera yang setia kepada kesultanan Sulu menceroboh Sabah pada 2013, serta membunuh 10 anggota keselamatan Malaysia.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai