Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | PRN Johor: Ramuan BN perangkap lawan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Pilihan raya negeri (PRN) Johor baru sahaja melabuhkan tirai. Kemenangan Barisan Nasional (BN) merampas semula negeri Johor sudah diramal.

Ramai penganalisis mendakwa kemenangan BN bukanlah kerana mereka kuat, tetapi perpecahan pembangkang yang begitu teruk.

Bak kata ILHAM Center “Jong pecah yu kenyang”, sudah cukup menggambarkan kesan perpecahan pembangkang, khasnya Pakatan Harapan (PH) yang hanya menguntungkan BN.

Perikatan Nasional (PN) pula lebih menjejaskan sokongan PH, khususnya pengundi Melayu, yang membuatkan BN menang selesa.

Strategi BN untuk menang besar nampaknya berhasil di PRN Melaka dan Johor. Persoalannya, apakah ramuan digunakan Umno-BN yang menyebabkan pembangkang kelihatan tidak bermaya di dalam PRN Johor?

Pengarah pilihan raya BN bagi PRN Johor, Mohamad Hasan merupakan pemimpin utama yang menyusun atur langkah BN. Pergerakan ini boleh dikatakan strategi ‘gelombang biru’ yang mampu mematahkan musuh dalam senyap. Jadi apa percaturan digunakan BN?

Bossku perangkap pembangkang

Pertama, BN telah menjadikan Najib Razak sebagai umpan untuk mengalihkan perhatian pihak lawan, khususnya PH dan PN, daripada isu sebenar. Percaturan ini digunakan agar pemimpin pembangkang terus-menerus menghentam Najib dan 1MDB di dalam kempen supaya tidak ada ruang bagi parti lawan menerangkan dasar dan tawaran kepada pengundi Johor.

Apabila pemimpin pembangkang menyerang Najib berulang kali ketika berkempen, ia seolah-olah menunjukkan PH dan PN ketandusan idea dan hanya menimbulkan rasa bosan dalam kalangan pengundi.

Dalam situasi ini, imej positif Hasni Mohammad sebagai pemimpin BN Johor dapat ditonjolkan. Hampir tidak kedengaran pembangkang mengkritik Hasni. Malah, Hasni boleh berjalan hampir seluruh Johor memberi penerangan tentang manifesto BN.

Kedua, BN memberi fokus kepada kerusi marginal separa dan luar bandar. Disebabkan kadar pengundi luar pulang mengundi di kedua-dua kawasan ini rendah dan lebih ramai pengundi tempatan, ia membolehkan BN menggempur beberapa kerusi pembangkang, khususnya PH, untuk menambah majoriti besar di DUN Johor.

Kejayaan signifikan BN adalah memenangi kerusi marginal di kawasan separa dan luar bandar yang mereka tewas pada PRU13, khususnya yang mempunyai pengundi bukan Melayu seperti Bekok dengan majoriti sebanyak 26.2 %, Yong Peng (14.7%), Paloh (21.6%) dan Pekan Nenas (22.6%).

BN turut mengambil semula majoriti kerusi PN, tetapi gagal merampas semula kerusi Maharani, Bukit Kepong, dan Endau.

Ini adalah ramuan yang masih laku buat BN jika trend di PRN Johor turut berlaku di dalam pilihan raya seterusnya. Tetapi, sejauh manakah langkah ini menguntungkan Umno?

Tidak semua mengena

Namun, pengaruh Umno-BN buat pengundi bandar masih rendah jika dibandingkan dengan PH yang mampu mempertahankan DUN Perling, Johor Jaya, Stulang, dan Skudai meskipun kadar keluar mengundi merosot dengan signifikan.

Menariknya, kemenangan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di DUN Puteri Wangsa dan dua DUN yang Muda tewas di tempat kedua kepada calon BN, iaitu Tenang dan Bukit Permai, masing-masing kalah dengan margin majoriti sebanyak 14.5% dan 21.1 %, boleh jadi petanda Umno-BN mampu ditewaskan dengan parti baru di kawasan marginal.

PN dilihat sebagai alternatif bagi pengundi Melayu yang menolak BN dalam PRN Johor. PN memperoleh tempat kedua di 25 kerusi DUN Johor, tetapi hanya 12 kerusi sahaja yang PN kalah dengan majoriti kurang 20 peratus seperti Serom (3.16), Bukit Pasir (1.1%), Tenggaroh (6.4%), dan Larkin (11%).

Ini memberi peluang kepada PN untuk mempergiatkan kerja untuk merampas kerusi-kerusi ini pada PRN akan datang. Tetapi, sejauh manakah PN mampu bertahan dengan konflik dalaman PAS yang akan menjejaskan kesatuan mereka dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang tidak mendatang apa-apa impak kepada mereka?

Momentum PH di dalam PRN Johor kian meningkat. Kebanyakan ceramah PH mendapat sambutan orang ramai meskipun terdapat pelbagai limitasi yang diletakkan pihak berkuasa. Tetapi, keputusan bertanding menggunakan dua logo telah menjejaskan rentak mereka sebagai satu pasukan di mata pengundi.

Kalau ada seminggu lagi

Sepanjang berkempen, percaturan PH agak tumpul dalam membongkar kelemahan mahupun kritikan terhadap manifesto BN Johor yang diterajui Hasni Muhammad. Hanya pada minggu kedua kempen, calon PH mula membangkitkan persoalan dasar mengenai projek tambak laut di Muar kepada Hasni.

Ternyata, Hasni agak kucar-kacir menjawab isu projek tambak laut. Malah, jawapan tempang Hasni yang membidas kenyataan Mohd Amar Abdullah, Naib Presiden PAS dengan menyatakan “Jika Singapura ada Umno, ia akan lebih maju daripada sekarang,” telah menunjukkan kelemahan BN dalam menjawab isu-isu dasar yang mereka pertaruhkan.

Jika kempen PRN Johor diperutunkan 14 hari penuh atau seminggu lagi, pergerakan jentera UMNO-BN akan lebih tergugat dengan isu-isu dasar yang dipersoalkan parti lawan dan memungkinkan PH dan PN menang di beberapa kerusi marginal.

Peluang Umno-BN untuk menang PRN Johor dilihat kian tipis jika isu pelantikan Menteri Besar Johor, yang sepatutnya disandang Hasni Mohammad, iaitu ‘poster boy’ BN Johor, ditukar kepada Onn Ghazi jika ia dikesan pembangkang pada minggu terakhir kempen.

Kestabilan masa depan yang dicanang BN akhirnya tidak mampu mengangkat aspirasi Bangsa Johor. Ia memberi sisi buruk kepada Umno-BN yang tidak mampu meletakkan ketua parti negeri sendiri menerajui kerajaan Johor yang dipilih secara demokratik.

Tetapi, amat malang sekali apabila parti pembangkang tidak mengambil kesempatan ini untuk bangkit dan memperkemaskan jentera parti menuju pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pembangkang perlu berhati-hati untuk tidak perangkap dalam jerat dipasang Umno-BN sekali lagi. Mereka seharusnya bersatu, kembali ke pangkuan rakyat, dan mengemukakan idea yang lebih konstruktif sebagai kerajaan menunggu.


Fakhrurrazi Rashid merupakan Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.