Skip to main
Logo Malaysiakini

PAU 2021 | Menanti hari esok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAU 2021 | Sudah tentu seboleh mungkin ahli Umno mahu menonjolkan parti mereka sedang dalam keadaan terbaik dari segala segi. Perpaduan, persefahaman, hala tuju dan semangat, misalnya, mahu ditampilkan sebagai amat jitu.

Ia perlu dilakukan bukan saja untuk tatapan orang ramai, malah tidak kurang pentingnya ialah untuk menanamkan keyakinan bulat pada minda ahli Umno.

Sudah tentu juga imej parti perlu dijaga ketika namanya agak segar harum mewangi. Ia mula berbau enak sejak di Melaka dan semakin mewangi di Johor.

Seperti kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan kali ini parti mahu bersidang dengan semangat kemenangan dan kejayaan cemerlang.

Kemudian datanglah detik yang tidak disenangi. Bagaimana mahu meraikan detik kemenangan itu jika selepas lebih dua hari berakhirnya PRN pun tiada mana-mana Adun mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru.

Kemudian ucapan perasmian persidangan sayap-sayap parti pula disanggah oleh beberapa pemimpin, sama ada secara berterang-terangan atau - untuk yang kurang keyakinan - bermadah bidalan.

Annuar Musa misalnya dengan garang menganggap pandangan diberikan Mohamad Hasan hanyalah pendapat peribadi.

Sepakat mahu tangguh pemilihan

Tidak cukup dengan itu Menteri Komunikasi dan Multimedia berkenaan menganggap Mohamad hanyalah tokoh di luar kerajaan.

Menyusul selepas itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid, yang juga berpendapat tidak wajar Mohamad memberikan komen negatif kepada ahli parlimen Umno yang menjadi menteri.

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad juga mengisyaratkan bahawa pembubaran parlimen - seperti tanggapan popular sesetengah pemimpin Umno - wajar mengambil kira kedudukan kerajaan yang ada sekarang.

Ucapan dasar Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pula memang menyentuh mengenai keperluan PRU diadakan tetapi nadanya bukanlah sesegera yang diidamkan Puteri Umno.

Sekiranya anda lupa, Mahdzir itu naib presiden Umno manakala Noraini itu ketua Wanita Umno Malaysia.

Pun begitu mereka sepakat mahu pemilihan parti ditangguhkan. Alasan untuk itu sangat mudah difahami. Tidak ada parti dan pemimpin yang waras mahukan perselisihan muncul ketika PRU semakin hampir.

Sidang hari ini juga menyaksikan bagaimana perbahasan para perwakilan di ketiga-tiga sayap seakan-akan mahu dikepung di dalam dewan saja. Tidak ada siaran secara langsung dipancarkan seperti dulu-dulu.

Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Johor entah ada berucap entah tidak.

Di sebalik cubaan mahu menunjukkan Umno kekal berpadu, isyarat yang terpancar dari dewan persidangan dan sekitarnya membayangkan sesuatu yang tidak tuntas lagi.

Mungkin ada alasan yang kukuh untuk Asyraf Wajdi mengingatkan kepada perwakilan agar jangan ada kluster itu dan kluster ini dalam Umno. Dan dia perlu menekankan hal itu dengan benar-benar meyakinkan, kerana realiti yang dipandang oleh orang ramai adalah sebaliknya.

Sekurang-kurangnya ada dua kluster yang terlihat di sana. Kluster pemimpin yang di luar kerajaan, dengan kluster pemimpin dalam kerajaan.

Selesai persidangan hari ini. Sekarang isu-isu yang berkaitan menunggu untuk dibincang dan dibahaskan oleh perwakilan dalam sidang esok.

Kebijaksanaan mereka menguruskan perbezaan yang ada sedang diuji. Lebih penting, ia sedang diperhatikan.

Ada beberapa kemungkinan terhidang sesudah itu. Misalnya, dipuji, dikagumi, dikritik malah mungkin diketawakan.