Gesa segerakan PRU: Mat Hasan fikir diri sendiri, nak jadi PM - Nazri
Pemimpin Umno Nazri Aziz mendakwa timbalan presiden parti itu, Mohamad Hasan menyimpan cita-cita untuk menjadi perdana menteri, selepas dia mencadangkan agar PRU15 tidak dilengahkan.
Menurut portal Malaysia Now, Nazri berkata Mohamad hanya memikirkan diri sendiri ketika membuat gesaan itu, memandangkan sebagai timbalan presiden, dia akan dipertimbang untuk jawatan perdana menteri jika BN menang dalam PRU nanti.
Ini kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kini berdepan pendakwaan jenayah di mahkamah, menyebabkan dia tidak boleh menjadi calon perdana menteri, kata Nazri.
Nampak sangat masa ini dia (Mohamad) hanya fikirkan diri dia.
“Dia hendak tanding Parlimen, kalau menang dia jadi perdana menteri, itu kepentingan dia,” katanya seperti dipetik, semalam.
Ketika berucap merasmikan persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno dua hari lalu, Mohamad mempersoalkan kewajaran pendirian sesetengah pemimpin kerajaan yang cenderung untuk menangguhkan PRU15.
Dia juga menggesa agar Umno membuat pendirian terhadap kewajaran untuk menyegerakan PRU15, meskipun terdapat ada dalam kalangan Umno sendiri yang membantah perkara tersebut.
Nazri turut berkata tindakan membubarkan Parlimen pada masa ini akan membuatkan Umno dilihat sebagai mementingkan parti dan bukannya rakyat.
Sepanjang BN memegang kuasa, gabungan itu sentiasa berpegang kepada kelaziman bahawa presiden Umno secara automatik menjadi pengerusi BN dan akan dilantik sebagai perdana menteri.
Namun, Zahid yang menggantikan Najib Razak selepas kekalahan dalam PRU14 kini berdepan pelbagai pendakwaan di mahkamah.
Walaupun Umno sudah kembali sebagai kerajaan, perbicaraan di mahkamah menghalang Zahid daripada mengetuai pentadbiran negara.
Jawatan itu diberikan kepada Ismail Sabri Yaakob, salah seorang daripada tiga naib presiden Umno. Dua lagi naib presiden serta Mohamad bukan ahli parlimen.
Nazri turut menyifatkan cadangan Mohamad agar Parlimen dibubarkan sebagai “kebudak-budakan”.
“Tok Mat tak faham Perlembagaan. Salah satu kuasa Agong ialah membubarkan Parlimen. Walaupun dinasihati perdana menteri, kalau baginda rasakan banyak isu belum selesai, baginda tidak akan setuju,” katanya lagi seperti dipetik.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai