Zahid: Bukan Umno yang tebuk atap, buka pintu belakang
PAU 2021 | Umno tidak rela parti itu dikaitkan dengan label kerajaan tebuk atau kerajaan pintu belakang.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata hal itu kerana bukan partinya yang terlibat dalam langkah tersebut.
"Kerajaan ‘tebuk atap’ atau ‘kerajaan pintu belakang’ tidak perlu dikaitkan dengan Umno. Bukan kita yang tebuk atap, dan bukan kita yang buka pintu belakang.
"Sampah sarap begini tidak harus dipalitkan kepada Umno," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar perhimpunan agung yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut ahli parlimen Bagan Datuk itu, Umno sebuah parti yang ada prinsip serta maruah, selain tidak boleh diugut-ugut seperti diancam 'tekanan butang' oleh parti lain.
Kerajaan pintu belakang diberikan pembangkang kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Kerajaan PN dibentuk Bersatu melalui kerjasama dengan Umno, PAS, GPS dan parti dari Sabah.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu tumbang selepas Bersatu dan sebahagian ahli Parlimen PKR bertindak menarik sokongan.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, Umno bukan parti picisan dan gila kuasa seperti mana dakwaan pihak tertentu.
"Umno bukan parti picisan. Tidak juga seperti itik patah kaki.
"Umno dan BN bukan gila kuasa seperti dakwaan mereka. Tabur wang sana-sini untuk kekalkan penguasaan dalam kerajaan.
"Tabur janji palsu, fitnah dan tohmahan yang memburukkan orang lain," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai