Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam mohon mahkamah minta dapatkan borang kebenaran vaksin anak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang ibu kepada sepuluh anak telah memfailkan tindakan perundangan sivil untuk mengakses borang kebenaran pemberian vaksin Covid-19 yang dikatakan unilateral kepada anak lelakinya yang berusia 13 tahun.

Asiah Abdul Jalil sedang mendapatkan dokumen untuk menyediakan saman utama berhubung dos vaksin kedua yang diberikan kepada anak kelimanya di Klinik Kesihatan Balok di Kuantan, Pahang, pada 15 Jan.

Dia sebelum ini membangkitkan bantahan rasmi terhadap sebarang vaksinasi lanjutan terhadap anak-anaknya melalui laporan polis.

Laporan itu menamakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Dia turut mendokumentasikan bantahannya melalui surat bertarikh 9 Jan kepada Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Pahang dan Pejabat Kesihatan Kuantan.

Malaysiakini juga sebelum ini melaporkan peguam itu mengancam untuk memfailkan saman sivil utama terhadap suaminya Mohd Hatta Saadon, Khairy dan Dr Noor Hisham, antara lain, berhubung vaksinasi anak remajanya.

Plaintif Asiah memfailkan saman pemula bagi mendapatkan borang kebenaran itu di Mahkamah Tinggi Kuantan pada Selasa (15 Mac), yang menyasarkan ketua pengarah Kesihatan Negeri Pahang (yang tidak dinamakan) sebagai defendan.

Menurut kertas kausa yang dilihat oleh Malaysiakini, Asiah berhujah bahawa ketua pengarah kesihatan Pahang, Noor Hisham dan Khairy enggan mematuhi permintaan bertulisnya untuk mendapatkan borang kebenaran itu.

Peguam itu mendakwa borang kebenaran berkenaan serta nama individu yang terlibat dalam vaksinasi anak remajanya itu "perlu dan wajar didedahkan demi kepentingan keadilan."

Mencari identiti kakitangan klinik

Plaintif sedang mendapatkan butiran kakitangan Klinik Kesihatan Balok yang didakwa meluluskan borang kebenaran itu pada 15 Jan lalu walaupun mengetahui borang itu dibuat secara unilateral dan meneruskan pemberian vaksin kepada anaknya yang berusia 13 tahun.

Asiah dilaporkan berkata dia berhak untuk memulakan tindakan awal bagi perintah penemuan daripada mahkamah jika permohonannya untuk mendapatkan identiti kakitangan perubatan terlibat telah ditolak.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, ibu itu berkata firma guamannya Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers - yang bertindak bagi pihaknya dalam perkara itu - sedang dalam proses menyampaikan kertas kausa terhadap defendan hari ini.

Mengenai kejadian itu, Asiah mendakwa suaminya membawa anak lelaki mereka ke Klinik Kesihatan Balok untuk dos vaksin kedua.

Dia berhujah bahawa borang kebenaran itu adalah berat sebelah kerana ia tidak mewakili persetujuannya sebagai ibu.

Empat anak Asiah yang lebih dewasa berusia 19, 17, 16, dan 14 telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan layak mendapat dos penggalak manakala anak kelimanya, berusia 13 tahun, ketika itu, sedang menunggu dos kedua.

Anak keenam, ketujuh, kelapan dan kesembilan Asiah berumur 11, sembilan, tujuh dan lima tahun, manakala anak bongsunya berusia dua tahun.

Dia membuat laporan polis awalnya pada 7 Jan berhubung pengumuman kerajaan mengenai vaksinasi Covid-19 pada masa hadapan untuk kanak-kanak ketika kebimbangan baru mengenai penyebaran varian Omicron.

[Baca berita asal]