Skip to main
Logo Malaysiakini

Perwakilan Umno Johor tak berbahas tanda sokong Hasni

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perwakilan Umno Johor tidak mengambil bahagian dalam sesi perbahasan perhimpunan agung Umno yang berlangsung hari ini.

Keputusan itu dibuat bagi menunjukkan sokongan terhadap Hasni Mohammad, yang digugurkan sebagai calon menteri besar Johor selepas pilihan raya negeri baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan perwakilan dari Johor memutuskan untuk tidak menyertai perbahasan berkenaan sebagai tanda sokongan kepada Hasni.

“Ini untuk menunjukkan sokongan kepada Hasni,” katanya dalam kiriman teks kepada Malaysiakini.

Senarai perwakilan Umno dan tiga sayap daripada parti itu yang diserahkan kepada media mengesahkan laporan sebelum ini bahawa akar umbi Johor tidak akan menyertai perbahasan berkenaan.

Bernama memetik sumber menyatakan bahawa perwakilan dari Johor membuat keputusan itu pada Isnin berikutan krisis pelantikan menteri besar yang baru.

Satu sumber bagaimanapun berkata Hasni tidak mahu perkara itu berlarutan.

Onn Hafiz, 43, yang merupakan Adun Machap, mengangkat sumpah sebagai menteri besar di Istana Serene pada Selasa lalu.

Sebelum ini Hasni dinamakan sebagai calon menteri besar oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi semasa tempoh berkempen pada pilihan raya negeri berkenaan.

Dalam pilihan raya pada Sabtu lalu, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN dan berada dalam kedudukan selesa untuk membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, tiga hari selepas BN meraikan kemenangannya, tiada petunjuk sama ada Hasni akan kembali menerajui kerajaan negeri sehingga timbul khabar angin mengaitkan Onn Hafiz dan ahli majlis tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi ke jawatan itu.

Dilaporkan bahawa akar umbi Umno kelihatan menolak "kuasa lebih tinggi" yang dikatakan telah mengganggu proses pelantik Hasni sebagai menteri besar.

Dilaporkan seramai 38 daripada 40 Adun BN di Johor mengemukakan akuan berkanun (SD) bagi menyokong Hasni sebagai calon tunggal menteri besar.

Zahid menyerahkan SD berkenaan kepada istana Johor pada 14 Mac lalu.

'Orang di belakang bawa pisau'

Sementara itu, ketua bahagian Umno Wangsa Maju Shafei Abdullah, dalam perbahasannya menyatakan rasa kesal terhadap isu gangguan pelantikan menteri besar Johor.

Dia berkata adalah sesuatu yang bersifat antiklimaks apabila parti itu menang dalam pilihan raya negeri tetapi individu dicalonkan sebagai menteri besar tidak dapat dilantik.

"Saya tertanya-tanya apakah ada mainan-mainan sunyi di belakang tanpa dapat restu daripada presiden parti atau pengerusi pimpinan.

"Saya anggap tak ada. Ada atau tak ada? Tapi kalau ada, hentikan budaya ini. Kalau ada, hentikan kerana ini akhirnya akan hilangkan keyakinan daripada pemimpin-pemimpin yang ada jalankan tugas sebab tiap kali bergerak terasa ada orang di belakang yang bawa pisau,” katanya.