Adam Adli, Fahmi Zainol dijangka rebut jawatan ketua AMK
Dua bekas aktivis mahasiswa, Adam Adli dan Fahmi Zainol dijangka akan bertanding bagi merebut jawatan Ketua Pemuda PKR (AMK).
Malaysiakini difahamkan Fahmi akan bergandingan dengan Adun Rawang, Chua Wei Kiat manakala Adam akan bergandingan dengan peguam Kamil Munim.
Chua dan Kamil akan bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Ketua AMK.
Ketika dihubungi Malaysiakini Fahmi mengesahkan akan bertanding jawatan ketua AMK.
Kumpulannya akan mengumumkan senarai barisan penuh mereka dalam sidang media pada 27 Mac (Ahad) di Kuala Lumpur dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor.
Sementara itu, Adam enggan mengulas sama ada dia akan bertanding atau sebaliknya.
Bekas aktivis berusia 33 tahun itu berkata dia akan mengumumkan perkara itu sebelum hari penamaan calon jika membuat keputusan untuk bertanding.
“Setakat ini tak umum lagi. Hanya akan buat keputusan menjelang hari penamaan.
“Saya serahkan kepada keputusan rakan-rakan. Kalau saya bertanding saya akan buat pengumuman,” katanya.
Adam perlu selesaikan masalah teknikal
September lalu, PKR menerima penyertaan 20 aktivis muda ke dalam parti itu termasuk Adam Adli.
Sumber PKR yang rapat dengan perkara itu memberitahu Malaysiakini, Adam berhasrat bertanding sebagai Ketua AMK.
Bagaimanapun, memandangkan Adam menyertai parti itu tidak sampai setahun, dia perlu memohon pengecualian untuk menyertai pemilihan parti.
Malaysiakini difahamkan bahawa permohonan itu menunggu kelulusan daripada presiden parti, Anwar Ibrahim dan jawatankuasa pemilihan parti.
Adam merupakan aktivis pelajar semasa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dia mula menjadi tumpuan kira-kira 10 tahun lalu apabila dia dan beberapa pemimpin pelajar lain menganjurkan protes berhubung penempatan bakal guru.
Adam juga pernah terpalit dalam beberapa kontroversi, termasuk ketika dia menurunkan bendera yang memaparkan gambar perdana menteri ketika itu Najib Razak di ibu pejabat Umno semasa bantahan pelajar lain pada Dis 2011.
Manakala Fahmi Zainol, yang berusia 31 tahun, merupakan pemimpin pelajar Universiti Malaya (UM) dan berdepan tindakan tatatertib selepas menjemput Anwar Ibrahim berucap pada 2014.
Fahmi Zainol menyertai PKR pada 2015 dan merupakan Ketua AMK Pulau Pinang sekarang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai