Skip to main
Logo Malaysiakini

PAU 2021 | Esok masih ada

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAU 2021 | Kata-kata bersemangat dari Pusat Dagangan Dunia di tengah Kuala Lumpur itu masih belum surut gemanya. Malah mungkin ia lebih berapi-api berbanding semalam.

Biasalah, suara gemersik anak-anak muda dan wanita di situ selalunya akan dapat dikendurkan oleh pada lelaki dewasa yang lebih berpengalaman.

Namun irama yang dapat dicerap di sebalik tapisan dinding-dinding dewan nampaknya masih sama. Sumbang mungkin perkataan yang agak melampau untuk menggambarkan keadaan di situ.

Ada irama yang beralun, ada air yang berombak dan ada angin yang bertiup. Pada dasarnya ada dua kutub sedang saling berpencak dengan penuh berhati-hati di sebalik kata-kata berbunga.

Maklumlah, menjelang pilihan raya umum yang semakin hampir, ada banyak hati yang perlu dijaga. Mungkin untuk meminimumkan kesan riak dan angin itulah maka perbahasan hanya sesekali melepasi daun pintu dewan.

Tumpuan terbesar persidangan hari ini tentulah mengenai gesaan agar pilihan raya umum (PRU) diadakan segera. Bermula dengan ghairah Puteri Umno yang mahu menunjukkan taring mereka semalam, semangat mahu menang besar itulah yang dibawa sesetengah perwakilan hari ini.

Namun di satu hujung yang lain benteng penahan ombak itu masih ada.

Ia mengingatkan kita kepada detik-detik Umno menggasak bekas timbalan presiden mereka sendiri, Muhyiddin Yassin, agar dia melepaskan jawatan perdana menteri dulu. Di antara Ahmad Zahid Hamidi dan Muhyiddin itu, ada beting yang dibina dalam kalangan menteri serta ahli parlimen yang kritikal.

Najib meniti di bibir

Di sana nampaknya ada Ismail Sabri Yaakob yang terjepit di antara kehendak parti dan tuntutan kerajaan yang di belakangnya ada Bersatu, PAS, serta parti lain termasuk komponen BN sendiri.

Semalam ada orang yang berkata, tangan Ismail Sabri terikat sebelah.

Benar, sebelah tangan ahli parlimen Bera itu memang nampak terikat.

Namun belum dapat dipastikan tali siapakah yang mengikatnya. Entah kerajaan Keluarga Malaysia yang berwarna-warni itu, atau pemimpin atasan Umno sendiri.

Atau sebenarnya kedua-dua tangan Ismail Sabri sedang diikat dengan kedua-dua hujung sedang asyik bermain tarik tali.

Sementara itu dari perspektif lain, perasmian dan ucapan dasar presiden pagi tadi mempunyai daya tarikan tersendiri. Sepanjang ucapan dasarnya tidak kurang tujuh kali mulut Ahmad Zahid Hamidi menyebut nama atau membuat rujukan kepada sahabat baiknya, Najib Razak.

Malah Ahmad Zahid mengajak semua perwakilan dan pimpinan Umno memberikan tepukan sanjungan (standing ovation) kepada “Bossku” itu.

Isu pelantikan menteri besar Johor juga nampaknya membayangi persidangan kali ini apabila tiada mana-mana perwakilan bangkit berucap. Ia sesuai dengan laporan agensi berita yang memetik sumber dalaman parti itu baru-baru ini.

Bukanlah Onn Hafiz Ghazi itu dipulaukan. Ahmad Zahid sendiri serta pemimpin lain beberapa kali menyebut nama anak muda itu. Namun tanpa suara dari Johor, ia adalah protes senyap Umno negeri itu terhadap kemelut "order barang lain, dapat barang lain" yang mencacatkan pencapaian mereka pada 12 Mac lalu.

Esok Umno akan bersidang dan berbahas sehari lagi sebelum PAU kali ini menutup tirai. Antara isu yang dijangka akan memanaskan dewan ialah gesaan PRU diadakan segera.

Di sebalik rasa berat yang ditunjukkan sesetengah pemimpin dalam kerajaan, menyedari budaya politik Umno, ia akan mendapat sokongan juga akhirnya daripada perwakilan.

Jarang sangat kita dapat melihat sesuatu kehendak pemimpin tertinggi Umno dibantah dengan nekad secara berjemaah. Tambahan pula tarikh PRU diyakini semakin hampir.

Ia akan menarik banyak perhatian orang, dan untuk sehari dua dapatlah orang ramai melupakan sejenak pelbagai masalah hidup yang kian menyempitkan salur pernafasan rakyat.

Hal-hal pendidikan, agama, malah nasib Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim pun tidak lagi kelihatan menguntungkan seperti sebelum ini.

Perjuangan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 wang sendiri dari kantung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sudah tercapai.

Kejayaan itu dipercayai akan terus mewangi di sanubari ahli Umno sehingga zaman-berzaman.