Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak penuhi syarat, JAS tolak projek tambak laut di Melaka

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menolak permohonan pemaju untuk melaksanakan projek tebus guna tanah yang dinamakan sebagai projek AJA di Pekan Klebang, Melaka.

Ketika menjawab pertanyaan Malaysiakini, seorang pegawai JAS mengesahkan bahawa laporan penilaian alam sekitar (EIA) bagi projek itu telah ditolak bertarikh 2 Mac lalu.

“(Laporan EIA) tidak memenuhi keperluan di bawah Seksyen 34A(2C) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Seksyen 34A (2) akta tersebut menyatakan bahawa laporan EIA "hendaklah mengandungi penilaian tentang kesan aktiviti tersebut akan mempunyai atau berkemungkinan mempunyai kesan alam sekitar" dan "langkah yang dicadangkan yang akan diambil untuk mencegah, mengurangkan atau mengawal kesan buruk kepada alam sekitar".

Pemaju projek berkenaan ialah Konsortium Pembangunan Tanah Laut (Melaka) Sdn Bhd.

Pemimpin Umno Melaka pegang hak konsesi

Semakan Malaysiakini mendapati timbalan pengerusi Umno negeri, Mohamad Ali Mohamad dan bekas timbalan exco Ghazale Muhamad memiliki kawasan konsesi di bawah projek yang dicadangkan itu.

Syarikat mereka dianugerahkan kawasan konsesi dalam tempoh BN/Umno mentadbir negeri berkenaan dan Ghazale adalah timbalan exco yang menyelia hal-hal berkaitan, justeru perkara ini menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan konflik kepentingan.

Projek AJA yang terletak di bawah pelan tindakan Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Melaka (M-WEZ) itu merupakan perancangan untuk menebus semula tanah seluas 300 ekar di kawasan perairan sekitar pekan Klebang.

Sementara itu, M-WEZ dijangka mengambil tanah seluas 25,000 ekar dan meliputi 33km garis pantai Melaka.

Awal bulan ini, JAS berkata sejak 1999 hingga kini, 11 projek tebus guna yang terletak di kawasan M-WEZ telah diluluskan meliputi 1,091.72 hektar (kira-kira 2,698 ekar) tanah.

Dalam erti kata lain, 89 peratus daripada tanah itu masih belum ditebus guna di bawah projek M-WEZ seluas 25,000 ekar.