Skip to main
Logo Malaysiakini

'Menteri Kewangan jangan simpan duit, beri kepada Sabah'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAU 2021 | Ketua Umno Putatan Jeffrey Nor Mohamed menggesa kerajaan untuk tidak lagi melengah-lengahkan peruntukan kepada Sabah agar usaha memajukan negeri itu tidak lagi tertangguh. 

Berucap membahaskan ucapan dasar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam Persidangan Agung Umno hari ini, Jeffrey mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang juga naib presiden parti, serta menteri Umno yang lain.

Dia juga menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz - yang bukan anggota Umno dan dilantik ke dalam kabinet ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin - untuk tidak “melengah-lengahkan dan menyimpan duit”.

Dia membandingkan keadaan Sabah dengan dua negeri yang baru saja melalui pilihan raya baru-baru ini, iaitu Melaka dan Johor.

Katanya, infrastruktur utama iaitu jalan raya, belakan air dan elektrik tidak menjadi isu ketika kempen di dua negeri itu, sebaliknya fokus kempen lebih kepada aspek lain seperti sambungan internet.

Ia berbeza dengan Sabah, katanya lagi, walaupun kaya dengan sumber, tetapi masih dibelenggu tiga masalah utama itu, dan ia harus diselesaikan menjelang PRU15.

“Kami di Sabah masih lagi cerita tentang jalan yang berlubang, tentang bekalan air dan elektrik yang dicatu. Sepenggal berapa kali (sahaja) dapat air. Seminggu mungkin dua-tiga kali sahaja dapat air. 

“Asas untuk kemajuan sebuah ekonomi di Sabah ini mesti dibaiki, ketiga-tiga ini - jalan raya, elektrik, air bersih. 

“Jadi saya mohonlah, di depan ini ada perdana menteri, menteri, tolong tengok (projek lebuh raya) Pan Borneo. Kalau boleh menteri kewangan jangan berlengah-lengah lagi, jangan lagi simpan duit. Beri kepada kami dan biar kami siapkan Pan Borneo,” katanya.

Di Sabah, Umno-BN merupakan sebahagian daripada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut dianggotai Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Dalam PRN Sabah tahun lalu, Umno menang 15 kerusi, diikuti Bersatu (10), PBS (6) dan Star (6), namun Hajiji Noor dari Bersatu dilantik ketua menteri. 

Laluan penuh duri ditinggalkan pemimpin

Dalam ucapannya, Jeffrey turut meminta barisan kepemimpinan tertinggi Umno untuk bersatu hati dan tidak berpecah, dengan mengimbau laluan penuh duri yang terpaksa ditempuh Umno Sabah setelah ramai pemimpinnya keluar selepas kekalahan dalam PRU14. 

Apa pun keputusan parti - soal tarikh PRU dan pemilihan - Umno Sabah tetap bersedia untuk bertempur, katanya lagi.

“Kalau saya cakap memang sedih. Kita bergolok-gadai, kita tak mahu lihat pemimpin kita berpecah-belah. [...] Saya harap, mohon kita bersatu hati. Tengok kami yang telah ditinggalkan. Tengok kami bersatu hati untuk terus berjuang untuk Umno Sabah.

“Kami sanggup bergolok-gadai, kenapa tidak pemimpin-pemimpin di atas untuk putuskan yang terbaik untuk parti kita.” 

Sedar menyuarakan isu yang membawa risiko tersendiri, Jeffrey berkata ada pemimpin Umno Sabah yang risau tentang isi ucapannya dalam perhimpunan kali ini, termasuk Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin dan ahli Majlis Tertinggi Abdul Rahman Dahlan. 

“Datuk Bung pun saya tidak kasi tengok (teks ucapan). Da tanya ‘mana kau punya teks?’ (Saya jawab) ‘tinggal di bilik’. 

“Memang saya tak mahu tunjukkan. Mahu bagi kejutan sikit, apa yang ingin saya cakap ini daripada naluri hati saya,” katanya lagi.