Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan sumbang RM1.5j kepada keluarga arwah Adib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan telah memberikan ex gratia (pampasan) berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga anggota bomba yang terkorban dalam rusuhan pada 2018, umum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Walaupun siasatan masih berjalan, saya ingin maklumkan di sini (yang) tak pernah diumumkan sebelum ini, kerajaan telahpun membayar ex gratia berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga arwah pada 29 Nov 2021.

“Inilah bukti kesungguhan dan keprihatinan Umno dalam membela nasib rakyat,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) hari ini.

Katanya, siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian allahyarham masih dijalankan bagi memberikan pembelaan sewajarnya kepada arwah.

“Jawatankuasa Khas Siasatan akan membentangkan laporan interim sebelum akhir bulan Mac 2022,” katanya.

Ismail Sabri juga mengumumkan siasatan jawatankuasa khas untuk meneliti pendedahan dibuat bekas peguam negara Tommy Thomas dalam bukunya.

Katanya pasukan petugas khas (PPK) sedang mengambil tindakan termasuk memanggil pihak yang terlibat.

"Laporan interim akan dibentangkan pada bulan depan.

"Saya janji jika ada penyalahgunaan kuasa, konspirasi terpilih seperti yang didakwa, kita akan ambil tindakan," katanya.

Ahli parlimen Bera itu juga memberitahu kerajaan tidak akan membentangkan cadangan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, keputusan itu diambil selepas mendengar pandangan rakyat serta ketetapan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Siasatan ke atas kematian Adib dan Thomas merupakan sebahagian tindakan yang diambil Ismail Sabri bagi melunaskan enam ketetapan yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 27 Ogos, seminggu selepas dia dilantik sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia.

Ia merupakan pelaksanaan di bawah ketetapan keenam, iaitu untuk menubuhkan jawatankuasa yang berkaitan bagi menegakkan keadilan dan menunjukkan ketelusan kepada rakyat.

Secara ringkas, ketetapan pertama adalah mengadakan kerjasama rentas parti; kedua, untuk menangani Covid-19 dan menumpukan vaksinasi; ketiga, menjaga kebajikan rakyat; keempat, penjenamaan semula kerajaan (kepada Keluarga Malaysia); dan kelima, mempertahankan sistem demokrasi berparlimen.

Kata Ismail Sabri, keenam-enam ketetapan itu telah berjaya dilaksanakan kerajaan Keluaga Malaysia.