Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kalau dah yakin menang, Umno takkan tunggu walau satu saat pun'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAU 2021 | Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata dia tidak akan menunggu walau satu saat pun untuk memulakan langkah membubarkan parlimen jika ia dipersetujui parti.

Bagaimanpun naib presiden Umno itu berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan terlebih dulu dengan kepemimpinan tertinggi parti.

"Kalau dipersetujui, beri saya bersama dengan presiden, timbalan, naib-naib atau top five untuk bincangkan perkara ini, boleh?

"Jika kita yakin dengan kemanangan, kita takkan tunggu satu saat pun untuk bubarkan parlimen untuk PRU ke-15," katanya.

Selepas Ismail Sabri mengakhiri ucapan penggulungannya, dia mendapat tepukan gemuruh dan tangannya dijulang oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Mohamad Hasan dalam ucapannya turut meminta ahli parti memberikan ruang dan kepercayaan kepada lima kepemimpinan tertinggi yang digelar top five untuk berbincang mengenai tarikh PRU15.

Berucap selepas Ismail Sabri, dia memberikan bayangan bahawa PRU15 paling awal mungkin hanya akan diadakan selepas Julai, seperti yang dipersetujui dalam perjanjian persefahaman (MOU) dengan pihak pembangkang.

‘Jangan tunggu lama’

Bagaimanapun, dia mengingatkan agar Umno tidak menunggu terlalu lama memandangkan dalam masa yang sama, pihak pembangkang sedang menyusun gerak sendiri bagi memantapkan kesepakatan semasa mereka.

Lebih-lebih lagi, katanya, kemenangan BN dalam PRN terbaru sebelum ini banyak bergantung pada perpecahan pembangkang.

“Baru semalam telah disebut Dr Mahathir Mohamad, bahawa mereka akan cuba untuk bergabung sama-sama dengan parti pembangkang. Jangan kita tunggu lama, sampai nanti dia bergabung susah juga kita.

“Walaupun kita menang di Melaka bergaya, menang di Johor dengan baik, tetapi kalau kita amati, kerana mereka berpecah.

“Kalau mereka bergabung, walaupun susah rasanya untuk mereka bergabung, tapi dalam politik semua boleh jadi.

“Jadi jangan kita tunggu mereka bangun dan bergabung menentang kita sebagai satu pasukan yang besar,” katanya.