Skip to main
Logo Malaysiakini

Bung Moktar: Demi kestabilan, GRS, BN janganlah bergaduh

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAU 2021 | Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu berjalan seiring bersama-sama Barisan Nasional (BN) untuk memastikan pembangunan dan kestabilan politik di Negeri di Bawah Bayu, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Saya cuma berharap GRS dan BN dapat memainkan peranan ke arah membangunkan Sabah kerana GRS diwujudkan semata-mata untuk memastikan pembangunan dan kestabilan politik di Sabah.

“Jadi apa yang penting, GRS dan BN dapat memainkan peranan bangunkan Sabah, stabilkan politik demi kemajuan ekonomi, janganlah bergaduh,” kata Pengerusi BN Sabah itu ketika ditemui Bernama pada Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung sejak Rabu dan berakhir hari ini.

Beliau berkata walaupun BN tidak menyertai GRS namun mereka tetap memainkan peranan sebagai pendukung kepada gabungan politik baru di peringkat Sabah.

Bung Mokhtar menyifatkan kemunculan GRS menandakan bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak lagi wujud di Sabah.

“PN di Sabah tidak wujud kerana kemunculan GRS. Ini bermakna PN Sabah tidak wujud kerana tidak boleh ada dua komponen dalam satu gagasan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.

Semalam, Pengerusi GRS Datuk Hajiji Noor (gambar, atas) mengumumkan gabungan itu kini secara rasmi terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) tanpa penyertaan BN dan PAS.

BN Sabah terdiri daripada Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Menerusi jajaran baru itu, BN hanya akan menjadi rakan kerjasama gabungan politik dalam mentadbir kerajaan Sabah, manakala kerjasama dengan PAS adalah melalui Muafakat Nasional.

- Bernama