Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Esok untuk siapa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Maka berakhirlah persidangan tahunan Umno untuk 2021 itu hari ini. Ia ternyata berbeza daripada perhimpunan agung Umno (PAU) 2022 yang diadakan tahun lalu.

Jika tahun lalu, Umno memalu gendang perang untuk menundukkan Bersatu menjadi latar utama persidangan, tahun ini desakan mengadakan pilihan raya umum (PRU) barulah yang banyak diperkatakan.

Maka ia menyaksikan aksi ranggi Ahmad Zahid Hamidi mengepalai bala tentera Umno yang sudah bersedia untuk 'bertempur' di bawah panji-panji parti tiba-tiba mandom di detik-detik akhir persidangan.

Ia adalah antiklimaks yang sangat mengecewakan.

Tetapi kali ini tiada lagi gendang perang untuk Bersatu. Yang lebih banyak dilaungkan ialah kemahuan parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU ke-15 diadakan "secepat mungkin."

Namun cepat itu masih terbiar untuk ditafsirkan dengan pelbagai makna. Cepat itu bukanlah esok lusa, atau minggu depan. Pada akhirnya kelihatan pemimpin Umno tetap perlu menghormati perjanjian persefahaman (MOU) kerajaan dengan Pakatan Harapan.

Maksudnya, paling awal parlimen boleh dibubarkan ialah pada 1 Ogos.

Maksudnya juga, cepat itu tidaklah secepat yang digambarkan oleh sesetengah pihak.

Dibincangkan pemimpin tertinggi

Di sebalik desakan itu, sebenarnya ada pertaruhan yang besar perlu difikirkan oleh Umno jika mereka terus mahukan parlimen dibubarkan sebelum 31 Julai. Walaupun benar politik di negara ini tidak mementingkan sangat soal maruah, melanggar MOU itu sudah pasti memberi kesan kepada imej sebuah kerajaan.

Memanglah Umno tidak akan terkesan sangat kalau MOU berkenaan dilanggar. Tetapi harus diingat di satu sisi lain ada barisan menteri yang terpaksa menahan kecaman dan aib kalau langkah yang dibuat Umno adalah sumbang.

Dan di sana ada persepsi yang rencam mengenai alasan sebenar Umno mahukan PRU segera. Dan kebanyakan orang tahu, bukanlah kerana rakyat sangat Umno mahu segera membubarkan parlimen.

Misalnya sepanjang PAU kali ini beberapa pemimpin dan pembahas secara jelas menyatakan matlamat mereka ialah kembali menjadi dominan. Situasi itu pernah berlaku sebelum 2018 dan orang ramai dapat melihat bagaimana politik berlangsung di negara ini.

Dominan bermaksud mekanisme semak dan imbang tidak dapat berfungsi pada kadar maksimum, dan ia membuka pintu kepada pelbagai kemungkinan.

Keputusan mengenai mengusulkan pembubaran parlimen juga dipersetujui akan dibincangkan oleh lima pemimpin tertinggi Umno, daripada presiden sehinggalah tiga naib presidennya.

Sama ada perbincangan itu akan berjalan lancar atau tidak, sudah tentu tidak banyak yang akan kita ketahui. Perbahasan dan perbincangan PAU kali ini saja banyak benar tapisannya sehinggakan hanya sebahagian saja yang terlepas daripada sekatan dinding dan pintu dewan.

Di sebalik perpaduan dan kesepakatan yang diuar-uarkan itu, Umno menjadi sangat berahsia, malah sehinggakan pemerhati atau orang awam yang berada di luar dewan juga dipastikan mendapat hanya petikan atau maklumat terpilih.

Sementara menunggu cadangan membubarkan parlimen itu disepakati, kita tentu boleh mengenang kembali detik-detik bagaimana 'degilnya' sesetengah ahli parlimen - termasuk dari parti komponen BN - menarik sokongan daripada Muhyiddin Yassin pada Ogos tahun lalu.

Perlu diingat, orang yang dilihat 'liat' untuk menarik sokongan itu adalah watak yang sama yang akan berunding dalam Umno nanti. Tentulah amat naif untuk membayangkan Ismail Sabri Yaakob hanya akan mengangguk-anggukkan kepalanya saja di depan Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Mahdzir Khalid dan Mohamed Khaled Nordin.

Satu lagi perkara yang perlu diingat, Umno seharusnya cukup bijak untuk menilai peluang yang mahu direbut itu dan tidak terpesona dengan keputusan dua pilihan raya negeri yang diadakan baru-baru ini.

Dihukum oleh kemarahan rakyat pada 2018 sepatutnya sudah cukup menginsafkan Umno. Ada banyak sebab rakyat boleh marah. Kelihatan gelojoh mahukan kuasa, misalnya.

Kalau-kalau Umno terlupa, rakyat itu ialah bakal pengundi mereka. Kecualilah Umno yakin untuk menang dengan hanya kira-kira 3 juta ahlinya itu.

Bagi kebanyakan pemimpin Umno, pastinya mereka tahu sedikit sebanyak siri filem "esok" garapan Allahyarham Jins Shamsuddin. Ia bermula dengan Menanti Hari Esok, kemudian muncul filem lain seperti Esok Masih Ada dan Esok Untuk Siapa.

Dan pemimpin Umno sepatutnya sedar, di sana ada cerita Tiada Esok Bagimu.