Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelvin Yii ketua baru pemuda DAP, Rara jadi timbalan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menang jawatan ketua pemuda DAP dalam pemilihan yang diadakan semalam, manakala Adun Ketari Young Syefura Othman menang jawatan timbalan ketua.

Yii meraih 232 undi bagi menewaskan Eric Teh Hoong Keat (158) dan Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin (55) bagi mengetuai sayap itu untuk penggal 2021-2024. Dia akan menggantikan Adun Pasir Pinji, Howard Lee.

Syefura pula meraih 212 undi bagi menewaskan Pengerusi DAP Batu Kitang Abdul Aziz Isa (169) dan Alice Lan Suet Ling (64).

Dalam ciapan di Twitter semalam, Yii menyuarakan penghargaan kepada penyokong dan pesaingnya dalam pemilihan kali ini, dan yakin Pemuda DAP akan terus memainkan peranan penting.

"Saya yakin dengan potensi dan kebolehan anak muda untuk melakar masa depan lebih baik dan saya percaya pemuda DAP akan terus menjadi penggerak dan pemikir yang akan membawa solusi yang kreatif dan inovatif untuk isu yang dihadapi oleh anak muda dan seluruh rakyat," katanya.

Empat jawatan naib ketua adalah Teh Swee Leong (Kedah), G Annun Nancy (Negeri Sembilan), K Jason Raj (Penang) dan PS Keristinah (Johor).

Mereka menewaskan calon lain termasuk Adun Subang Michelle Ng, Adun Luyang Ginger Phoong dan Iskandar Fareez.

Sekurang-kurangnya satu daripada empat jawatan itu dikhususkan untuk calon perempuan.

Bagi jawatan setiausaha, Wayne Ong Chun Wei (Selangor) menewaskan Jenny Choy (Perak). Ong meraih 240 undi manakala Choy denan 204 undi.

Seramai 15 lagi calon terpilih untuk menganggotai jawatankuasa sayap itu, termasuk Adun Bukit Tunku Lim Yi Wei.

Bagaimanapun Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee dan Adun Skudai Marina Ibrahim, yang juga setiausaha publisiti DAP Johor, tidak terpilih setelah kedua-duanya mendapat antara undi terendah.

Hari ini, DAP akan mengadakan pemilihan jawatankuasa eksekutif dengan pemimpin lain bakal menggantikan Lim Guan Eng sebagai setiausaha agung, iaitu jawatan tertinggi bagi parti itu.