Skip to main
Logo Malaysiakini

Sekali ditikam belakang, DAP takkan kerjasama PN 'pengkhianat'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah mengingatkan ahli partinya bahawa walaupun mereka mesti berfikiran terbuka untuk bekerjasama dengan kumpulan politik lain, mereka tidak boleh bekerjasama dengan pihak yang telah mengkhianati parti dan perjuangannya.

“Pemimpin dan ahlinya berdiri atas prinsip dan kita menang atas prinsip. Mandat sah Pakatan Harapan ini telah dirompak pada awal tahun 2020 daripada rakyat dengan pengkhianatan ahli parlimen oportunis yang ditawarkan jawatan dan dana.

“Atas sebab ini, kita tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional yang mengkhianati kita. Kalau kita ditikam belakang sekali, malulah mereka.

"Jika kita benarkan mereka menikam kita dari belakang buat kali kedua, malulah kita,” kata Lim dalam ucapannya pada kongres parti yang diadakan hari ini di Shah Alam.

Lim mengakui bahawa parti dan pembangkang, secara amnya, kini berundur tetapi mengingatkan bahawa mereka telah berpengalaman masa yang lebih buruk, terutamanya sebelum pilihan raya umum 2008.

“Saya tahu kita kecewa dengan Langkah Sheraton yang menyebabkan kita kehilangan kuasa dalam kerajaan persekutuan dan beberapa kerajaan negeri selepas kemenangan bersejarah kita dalam pilihan raya umum 2018, serta keputusan PH yang mengecewakan di Melaka, Sarawak dan baru-baru ini di Pilihan Raya Johor.

“Kita harus mengambil tahu bahawa keadaan kita ketika berada dalam pembangkang sebelum 2008 lebih teruk,” katanya.

Gambar fail, pasca Langkah Sheraton.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sambil menangis berucap pada kongres parti itu hari ini.

Minggu lalu, ahli parlimen Bagan itu menyeru semua parti pembangkang yang “tulen” untuk bersatu dan mengamalkan pendekatan “khemah besar” terhadap BN tetapi menegaskan bahawa ini tidak termasuk Perikatan Nasional (PN).

Dia mengkritik kegagalan pembangkang untuk bertanding di bawah logo dan visi yang sama serta ketidakupayaan untuk memudahkan sebarang perbincangan calon menteri besar, selain parti pembangkang bertanding sesama sendiri.

"PH perlu melakukan kerja yang lebih baik untuk menyampaikan mesej kita jika kita ingin memenangi semula sokongan rakyat.

"Untuk berjaya, kita tidak boleh menyalahkan orang lain ke atas kehilangan sokongan popular tetapi melihat kelemahan kita sendiri dan mengapa berlakunya peratusan keluar mengundi yang lebih rendah. Kita perlu berdepan dengan rekod kita semasa berada dalam kerajaan PH.

"PH mesti menunjukkan ia bersatu dan bergerak sebagai satu pasukan. Logo bersama dalam PH akan membantu untuk menunjukkan kesatuan dalam tujuan itu.

"Walaupun DAP teringin untuk menggunakan logo Roket, DAP akan berpegang kepada logo gabungan PH untuk membantu kita menang bersama-sama. Tidak ada satu parti pun yang memenangi pilihan raya umum secara tunggal, hanya parti koalisi yang berjaya memenangi kuasa sejak merdeka.

"Kita perlu berkongsi kemenangan dengan sekutu kita melalui logo yang sama supaya kita boleh memenangi lebih banyak kerusi," katanya.

[Baca berita asal]