Skip to main
Logo Malaysiakini

'MOU tamat jika akta antilompat parti tak lulus ikut masa ditetapkan'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan dan PH akan berakhir sekiranya rang undang-undang (RUU) antilompat parti tidak diluluskan dalam tempoh masa yang dipersetujui sebelum ini, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Lim berkata terdapat kekeliruan berhubung satu pindaan perlembagaan yang disenaraikan dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat pada 21 Mac ini, kerana tidak jelas sama ada pindaan ini berkaitan dengan undang-undang tersebut atau tidak.

“Kita ingin tahu apakah pindaan perlembagaan ini? Setakat yang kita tahu, satu-satunya pindaan perlembagaan yang telah dibincangkan dengan kita ialah undang-undang antilompat.

“Tanpa sokongan kami, anda tak boleh luluskan apa-apa pindaan perlembagaan, jadi satu-satunya perkara yang sesuai dengan rang undang-undang pindaan perlembagaan itu ialah undang-undang antilompat,

"Tetapi pada masa sama, anda lihat menteri berkata sebaliknya, jadi timbul kekeliruan di sini,” katanya dalam sidang media di kongres DAP di Shah Alam, hari ini.

Dalam ucapannya sebelum itu, Lim berkata MOU tersebut menyebut bahawa kerajaan akan menggubal undang-undang antilompat parti selewat-lewatnya Mac 2022 untuk menghentikan pengkhiatan yang "mencemarkan keseluruhan proses demokrasi".

“Sekiranya undang-undang antilompat parti tidak diluluskan seperti yang dijanjikan dalam MOU yang ditandatangani perdana menteri, maka MOU itu berakhir," katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata RUU antilompat parti memerlukan “pertimbangan lanjut” sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Dia memberi jaminan selepas sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan selesai dan kabinet telah meluluskannya, ia akan dibentangkan dalam sidang khas Parlimen.

Lanjutkan sidang Parlimen

Sementara itu Lim berkata PH pada masa ini mahu mendapatkan penjelasan daripada kerajaan dan ini akan dilakukan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob minggu depan.

“Tetapi kita telah nyatakan dengan sangat jelas bahawa jika ini tidak diluluskan, maka saya rasa ini adalah pengakhiran MOU.

“Melainkan ada penjelasan. Tunggu dan lihat apakah ada pindaan perlembagaan esok.

“Kalau nak panjangkan Parlimen untuk RUU diluluskan, maksud saya tak apa, boleh lanjutkan, tapi jangan tangguh.

"Jika perlu, mereka boleh cari masa yang sesuai, mungkin awal April atau bila-bila sahaja. Asalkan kita ada tarikh yang tetap, dan kita akan membincangkannya apabila dia (Ismail) pulang dari Vietnam,” katanya lagi.